ADAMAS siasat satu kes 'Atypical Finding' libat atlet Sukma

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

AGENSI Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) sedang menyiasat satu kes ‘Atypical Finding’ (ATF) melibatkan atlet Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang berlangsung dari 16 hingga 24 September lepas.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan daripada keseluruhan 252 sampel urin yang diuji daripada temasya berkenaan, kesemuanya menunjukkan keputusan negatif kecuali satu kes ATF.

Menurut KBS, kesemua sampel itu dihantar ke Makmal Anti-Doping Doha, Qatar (ADLQ), sebuah makmal yang diiktiraf oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) bagi tujuan analisis dan penilaian modul ‘Steroidal Passport, Athlete Biological Passport’ (ABP).

"Kesemua sampel ini dikendalikan selaras dengan peruntukan terkandung dalam Peraturan Anti Doping ADAMAS 2021 iaitu hak atlet diberi keutamaan semasa pengujian kawalan doping dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

ATF merujuk kepada laporan makmal menerima akreditasi WADA yang memerlukan siasatan lanjut seperti ditetapkan oleh standard antarabangsa bagi makmal atau dokumen teknikal berkaitan sebelum penentuan sesuatu Adverse Analytical Findings (AAF).

AAF bermaksud laporan makmal yang menerima akreditasi WADA mengenal pasti kehadiran bahan terlarang (metabolit atau penanda) atau bukti penggunaan kaedah dilarang dalam sampel.

Pada September lepas, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengundur diri daripada mengendalikan acara angkat berat bagi Sukma setelah tiga atlet angkat berat dari dua negeri positif penggunaan bahan terlarang.

Pertandingan angkat berat Sukma kemudian dikendalikan sendiri oleh Majlis Sukan Negara (MSN), namun sebarang rekod yang dicipta tidak diiktiraf. - Bernama

Artikel Berkaitan: