Pengesahan serah 115 SD bukti Muhyiddin ada sokongan majoriti

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengesahan Perikatan Nasional (PN) telah menyerahkan "statutory declaration" (SD) daripada 115 Ahli Parlimen membuktikan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau turut menandatangani SD tersebut pada 20 November lalu.

"Saya juga gembira dengan pengesahan itu.

"Saya menyokong sepenuhnya pandangan Muhyiddin berkaitan penubuhan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 20 November lalu sebulat suara bersetuju memberi mandat dan kepercayaan penuh kepada Muhyiddin untuk mengambil apa-apa keputusan yang perlu untuk membolehkan kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil dibentuk.

Katanya, Mesyuarat Khas tersebut turut mempertegaskan bahawa Bersatu mencadangkan Muhyiddin menerajui kerajaan selaku Perdana Menteri.

Terdahulu, Muhyiddin menegaskan gabungan parti itu berpendirian untuk tidak terlibat dengan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, beliau juga telah menandatangani surat dan memilih untuk tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa.

Muhyiddin juga berkata, gabungan itu menyerahkan dokumen mengandungi akuan berkanun daripada 115 Ahli Parlimen kepada Istana Negara, pada Isnin.

Muhyiddin berkata, dokumen itu dihantar secara dalam talian dan pihaknya juga sudah menerima akuan penerimaan daripada Setiausaha Sulit Kanan kepada Al-Sultan Abdullah, Datuk Nazim Mohd Alim. Beliau turut menunjukkan surat akuan penerimaan dokumen daripada Istana Negara.