Pemilik The Edge mengaku beri AS$2 juta kepada Justo

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Pengerusi The Edge Media Group hari ini mengaku di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa dia memberi AS$2juta kepada Xavier Andre Justo, individu yang mendedahkan maklumat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebagai hadiah atas sumbangannya dalam ‘membersihkan’ anasir kleptokrasi terbesar negara itu.

Tan Sri Tong Kooi Ong, 63, berkata, beliau telah memberikan Justo jumlah wang berkenaan, walaupun tidak mendapat sebarang maklumat mahupun dokumen berkaitan dana kekayaan berdaulat negara itu.

"Saya merasakan Justo tanpa sesuka hati dan tanpa sebarang keuntungan, ‘membayar’ harga yang tinggi apabila dipenjarakan di Thailand atas tindakan yang menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi terbesar dunia.

"Saya rasa dia layak dibayar, dan saya rasa kerajaan Malaysia sepatutnya menganugerahkan sesuatu kepadanya, tetapi apabila tiada anugerah itu, saya sendiri memutuskan untuk membantunya. Saya berikan wang itu kepadanya di pejabat saya,” kata Kooi Ong.

Saksi pendakwaan ke-43 itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak yang melibatkan penyelewengan RM2.3 bilion daripada 1MDB.

Beliau merujuk kepada satu artikel yang diterbitkan oleh portal dalam talian bertajuk "Pemilik The Edge beri Justo RM8.2 juta kerana bantu mendedahkan skandal 1MDB".

Beliau berkata bahawa kerajaan Malaysia sepatutnya memberi pampasan kepada Justo, dan apabila mendapati tiada apa diberikan, beliau telah menghadiahkan wang itu kepada Justo, dan Justo mengakui faham bahawa pemberian itu sebagai satu hadiah.

Ketika disoal oleh timbalan pendakwa raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram jika saksi itu mengenali ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low, Kooi Ong berkata, beliau pernah bertemu Jho Low dua kali.

"Pada 2014, selepas The Edge baru memulakan operasi, Jho Low, melalui wartawan menghubungi saya, untuk berjumpa dengan saya.
Artikel Berkaitan:


"Dia berjumpa dengan saya dua kali. Bapa Jho Low Tan Sri Larry Low Hock Peng adalah orang yang saya kenali sejak 1990-an.

"Semasa pertemuan pertama, dia (Jho Low) memberitahu saya bahawa laporan Edge (mengenai 1MDB) adalah salah. Pada pertemuan kedua, beliau memberitahu saya bahawa beliau mengenali Datuk Seri Najib. Dia berkata bahawa The Edge harus ‘berhati-hati’ dengan apa yang kami tulis,” kata Kooi Ong.

Sri Ram: Semasa Jho Low berkata demikian (hati-hati dengan apa yang ditulis), apa sebenarnya mesej yang disampaikan?

Kooi Ong menjawab: "Ia satu ugutan”.

Semasa ditanya tindakannya susulan ugutan itu, Kooi Ong menjawab "Saya abaikan sahaja”.

Saksi itu juga memberitahu mahkamah bahawa dia mendapatkan nombor telefon pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown daripada bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee.

"Saya menghubungi Rewcastle-Brown. Ya, dia memperkenalkan saya kepada Justo di Singapura,” kata pemilik The Edge itu.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan disambung esok. - Bernama