Abang Jo enggan ulas mengenai BN, tunggu keputusan Agong

Abang Johari ketika bertemu para pengamal media selepas menghadiri persidangan DUN Sarawak, pada Selasa. - Foto Bernama
Abang Johari ketika bertemu para pengamal media selepas menghadiri persidangan DUN Sarawak, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS),Tan Sri Abang Johari Tun Openg enggan mengulas tindakan lanjut yang bakal diambil mereka susulan keputusan BN untuk tidak menyertai mana-mana gabungan lain bagi menubuhkan kerajaan.

Ditemui pemberita selepas berakhirnya Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, beliau sekadar menafikan ada mendengar apa-apa perkembangan politik terbaharu yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, sebarang tindakan yang akan diambil GPS akan bergantung kepada keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Tengoklah, saya belum tahu keputusan Agong lagi. Saya tidak tahu (keputusan BN). Saya (masih) lagi di Dewan (DUN),” katanya semasa ditemui pemberita di bangunan DUN Sarawak di sini, pada Selasa.

Pada Ahad lepas, GPS mengumumkan persetujuan untuk membentuk gabungan bersama Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi membentuk kerajaan Persekutuan dengan memilih Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa berkata, Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan.

Naib Presiden UMNO itu menerusi catatan ringkas di laman Facebook memaklumkan setakat ini, BN bersetuju menjadi pembangkang.

GPS ialah gabungan empat parti tempatan Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, GPS memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini. - Bernama