[VIDEO] Tiada lagi keputusan pelantikan Perdana Menteri: Anwar

Anwar ketika berucap semasa sidang akhbar di hadapan Istana Pintu 2. - Foto Sinar HarianASRIL ASWANDI SHUKOR
Anwar ketika berucap semasa sidang akhbar di hadapan Istana Pintu 2. - Foto Sinar HarianASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan tiada apa-apa keputusan membabitkan pelantikan Perdana Menteri.

Anwar sebaliknya secara berseloroh berkata, pada masa ini terdapat kekosongan jawatan terbabit.

“Sekarang ini, ada kekosongan jawatan dan terbuka untuk permohonan,” katanya ketika sidang akhbar di luar Istana Negara pada Selasa.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini memaklumkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah.

Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menitah perkenan untuk ketua-ketua gabungan PH dan PN menghadap pada jam 4.30 petang ini di lstana Negara.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terdahulu dilihat masuk ke Istana Negara pada jam 4.08 petang dan beredar kira-kira jam 5.10 petang.

Manakala Anwar dilihat masuk ke Istana Negara pada jam 4.11 petang.

Tambah Anwar, PH juga telah menamakan dirinya sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan itu.

Artikel Berkaitan:

“Nama telah persembahkan awal tadi,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menegaskan bahawa tiada penubuhan kerajaan minoriti seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

“Setakat ini tidak ada soalan tentang menubuhkan kerajaan minoriti,” tegasnya.

Ketika ditanya sama ada Yang di-Pertuan Agong ada meminta beliau mewujudkan kerajaan perpaduan bersama parti dan gabungan lain, Anwar memaklumkan Seri Paduka Baginda sudah sekian lama menyatakan hasrat mengenai keperluan mewujudkan kerajaan perpaduan.

“Kerajaan perpaduan itu saya sebut semalam dan kebetulan Yang di-Pertuan Agong juga sejak bertahun lalu secara konsisten memohon supaya ada semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Ini termasuk tatkala Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin dilantik (sebagai Perdana Menteri), tapi mereka tidak menjalankan (titah Seri Paduka Baginda). Lainlah kalau saya. Saya hormat dan patuh,” katanya.