Selangor turun selaku 'underdog'

Cheng Hoe - Foto FB Selangor FC
Cheng Hoe - Foto FB Selangor FC
A
A
A

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe menganggap pasukannya akan turun selaku ‘underdog’ berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final TM Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Bekas jurulatih pasukan kebangsaan itu mengakui barisan serangan dan pertahanan JDT cukup berkualiti dan ia akan menjadi perlawanan yang sukar kali ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun, dengan semangat juang yang telah ditampilkan di separuh akhir berdepan Terengganu semalam (Isnin), beliau menaruh harapan cukup tinggi kepada pemain untuk meneruskan momentum seperti itu di pentas final sekali gus melakar kejutan.

“Kalau kita lihat final menentang JDT, memang Selangor akan jadi ‘underdog’ sebab JDT tahun ni dah banyak menang piala.

“Mereka cukup konsisten dalam Liga Malaysia tetapi sebagai jurulatih, saya masih positif dan menaruh harapan setiap pemain perlu yakin untuk menentang JDT walaupun mereka ada kekuatan terutamanya di bahagian serangan dan pertahanan.

“Pemain seperti Bergson (da Silva) dan Forestieri (Fernando Forestieri) mereka memang kuat dan pertahanan mereka juga memang cukup kuat untuk menghalang kita daripada menjaringkan gol, tetapi apa sahaja boleh berlaku di final,” jelasnya.

Mengulas berkenaan perlawanan menentang Terengganu pada Isnin, beliau menyifatkan barisan pemain telah mempamerkan karakter luar biasa dalam mempertahankan gawang terutamanya selepas pertahanan import, Yazan Al-Arab dilayangkan kad merah.

Pujian turut diberi kepada penjaga gol, Khairulazhan Khalid yang menunjukkan semangat juang tinggi apabila tetap meneruskan perlawanan berbaki beberapa minit sebelum wisel penamat dibunyikan meskipun berdepan kecederaan di bahagian kepala.

Artikel Berkaitan:

Paling penting katanya, adalah mereka berjaya memastikan tiada jaringan kedua daripada tuan rumah kerana pasukan pastinya akan berada dalam tekanan yang tinggi jika perlawanan diheret ke masa tambahan.

“Setiap pemain telah menunjukkan semangat walaupun kita ketinggalan 1-0 dan kita memang tidak boleh benarkan satu gol lagi daripada mereka.

“Kalau ada juga gol kedua, memang kita akan ada dalam keadaan tertekan dan saya berbangga dengan pemain yang telah berjuang sehingga ke saat akhir, malah mereka mampu mengawal situasi dengan terbaik.

“Azhan juga telah menunjukkan karakter seorang penjaga gol senior yang cukup baik sebab bukan mudah untuk bermain dengan Terengganu terutamanya di laman mereka.

“Walaupun ada perlanggaran, tetapi dia boleh teruskan juga aksi sehingga habis perlawanan dan ini menunjukkan dia adalah seorang penjaga gol yang mampu mengawal situasi dengan baik,” tambahnya.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor layak ke final Piala Malaysia adalah pada musim 2016 dan kali ini bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.