Sambutan luar jangka PN hasil program 'jelajah'

Muhyiddin dalam siri Jelajah PN Best semasa PRU15.
Muhyiddin dalam siri Jelajah PN Best semasa PRU15.
A
A
A

MUAR - Gelombang Perikatan Nasional (PN) mendapat sambutan luar biasa disebabkan penganjuran program 'Jelajah Prihatin' dan 'Jelajah PN Best', kata seorang pemimpin bahagian PN Setiawangsa.

Ketua Badan Perhubungannya, Mohd Ikhmal Abu Bakar berkata, dua program itu juga adalah hasil gerakan yang dimulakan oleh pasukan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Senator Datuk Razali Idris.

"Pertama Wan Saiful pantas mengambil alih dan menyusun gerak kerja penerangan di peringkat PN, walaupun sebenarnya itu bukan tanggungjawab beliau.

"Wan Saiful terus memantau kempen penerangan seluruh negara walaupun sibuk berkempen di Tasek Gelugor. Pasukan Penerangan beliau juga bergerak ke seluruh negara menganjurkan kedua-dua jelajah itu," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ikhmal yang juga Ketua Bahagian Bersatu Setiawangsa berkata Razali pula individu yang dikenalpasti oleh Wan Saiful untuk menjadi Pengarah Komunikasi dan Penerangan di Bilik Gerakan Utama PN Nasional.

Katanya, Razali menjalankan amanah dengan teliti sehingga membolehkan pasukan penerangan melaksanakan semua perkara yang dirancang dengan baik.

"Gelombang yang terhasil daripada kejayaan pasukan penerangan ini menyumbang kepada pembentukan gelombang yang memenangkan PN.

"Gelombang ini mesti diteruskan agar ia turut menyumbang kepada pilihan raya-pilihan raya negeri tidak lama lagi," katanya

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ikhmal berkata faktor paling besar peningkatan gelombang sokongan terhadap PN sudah tentu kerana populariti Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, rakyat mahukan Muhyiddin kembali menjadi Perdana Menteri.

"PN berjaya mengambil manfaat daripada populariti Muhyiddin dengan dua cara.

"Pertama, ialah dengan menganjurkan siri ceramah mega Jelajah Prihatin dan Jelajah PN Best.

"Kedua-dua siri jelajah dihadiri oleh lautan manusia dan ia memberi impak yang besar dalam meyakinkan rakyat tentang kelebihan PN berbanding parti lain," kataya.

Tambahnya lagi, faktor kejayaan PN adalah melalui media sosial dengan pelbagai 'content' dihasilkan untuk menarik perhatian golongan muda terhadap PN.

"Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN kelihatan lebih terkehadapan dalam kempen melalui media sosial kali ini.

"Ramai pihak terlibat terlibat dalam menghasilkan gelombang yang telah menghasilkan keputusan cemerlang bagi PN.

"Semua mereka menyumbang tenaga dan kepakaran," katanya.