Tuan Ibrahim ketuai rundingan bentuk kerajaan Pahang

Tuan Ibrahim - Foto Bernama
Tuan Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) Pahang akan meneruskan rundingan bagi membentuk kerajaan negeri Pahang seberapa segera.

Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, dalam hal itu, Majlis Tertinggi PN telah melantik Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengetuai rundingan.

"Setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pengundi di negeri Pahang yang telah memberi kemenangan kepada PN Pahang sehingga kami berada dalam kedudukan untuk membentuk kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Isnin.

Bagaimanapun tidak disebutkan sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) yang terlibat dalam rundingan itu.

Pengerusi DAP Pahang pada Isnin mengesahkan PH bersetuju untuk bekerjasama dengan BN Pahang bagi membentuk kerajaan negeri.

Kerajaan Negeri Pahang kini tergantung apabila tiada gabungan parti bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memperoleh majoriti.

BN yang dijangka kembali menerajui kerajaan negeri dengan majoriti selesa dikejutkan PN yang menang dengan kelebihan satu kerusi DUN ketika ini.

PN memenangi 17 kerusi di DUN Tanjung Lumpur, Cheka, Luit, Chenor, Bukit Ibam, Kuala Sentul, Damak, Pulau Tawar, Tahan, Jengka, Beserah, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Lepar, Sungai Lembing dan Panching.

Artikel Berkaitan:

BN pula menang 16 kerusi di DUN Peramu Jaya, Jelai, Muadzam Shah, Dong, Guai, Kerdau, Kemayan, Benta, Inderapura, Jenderak, Padang Tengku, Batu Talam, Bebar, Chini, Pelangai dan Sabai manakala PH lapan kerusi iaitu DUN Tanah Rata, Teruntum, Tras,Triang, Mentakab, Semambu, Bilut dan Ketari.