Adik Najib suarakan kebimbangan mengenai 1MDB: Saksi

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengerusi Kumpulan Media The Edge memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, pada Isnin bahawa adik kepada Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan kebimbangan mengenai Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009 dan 2010 lalu.

Saksi pendakwaan ke-43, Tan Sri Tong Kooi Ong berkata demikian semasa perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Kooi Ong, 65, berkata, Tan Sri Mohamed Nazir Razak menyatakan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan syarikat pelaburan strategik negara tersebut.

Susulan itu, beliau berkata, siasatan dijalankan menjurus kepada bagaimana transaksi dalam 1MDB menjadi tidak normal.

“Ini kerana, saya dan rakan baik saya, Mohamed Nazir bimbang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah memperdayakan Najib,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Muhammad Shafee: Kamu telah menyiasat perkara ini menggunakan semua dokumentasi yang diperoleh?

Kooi Ong: Betul.

Muhammad Shafee: Berdasarkan penyiasatan kamu, kesimpulan bahawa ada pihak dalam pengurusan 1MDB telah mengelirukan Najib?

Artikel Berkaitan:

Kooi Ong: Saya rasa, mereka merupakan salah satu pihak yang telah mengelirukannya.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee bertanya, sama ada saksi ini menyedari bahawa transaksi di akaun keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz di Singapura.

“Saya tidak tahu mengenai perkara berkenaan, tapi rasanya ada laporan berhubung transaksi itu dikaitkan dengan keluarga Zeti Akhtar,” katanya.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa.