Dakwaan PN ada lebih 112 SD sokongan adalah pramatang, mustahil

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) berpendirian bahawa kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung surat akuan berkanun (SD) yang dikemukakan melebihi jumlah 112 adalah pramatang, mustahil dan tidak konklusif.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH mengambil pendirian daripada kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa sebarang akuan berkanun atau rundingan dengan parti lain oleh mana-mana ahli Parlimen UMNO adalah tidak sah dan tidak boleh diambil kira sebagai bukti sokongan majoriti kepada calon Perdana Menteri.

“Ia juga boleh menyebabkan mereka hilang kerusi seperti yang dipersetujui dalam akuan berkanun yang telah mereka tandatangani,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Isnin, Hamzah dalam kenyataan memaklumkan bahawa PN telah mengemukakan lebih 112 surat akuan berkanun daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Menurutnya, jumlah surat akuan berkenaan mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan baharu.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, PH telah memasuki fasa rundingan yang serius dengan BN termasuk membincangkan perkara-perkara utama yang menyentuh tentang kestabilan politik dan pemulihan ekonomi, dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara.

“Hasil perbincangan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Pada masa yang sama, kami mengambil maklum penafian Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bahawa satu kenyataan media yang tular menyatakan 10 ahli Parlimen UMNO menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak benar.

Artikel Berkaitan:

“Oleh yang demikian, PH berpendirian bahawa kenyataan Setiausaha Agung PN itu adalah pramatang, mustahil dan tidak konklusif berkait angka sokongan majoriti yang didakwa telah mereka capai,” ujarnya.