Pejuang diajak kembali sertai Bersatu atau pilih Pas

Muhammad Sanusi (kiri) pada sidang akhbar selepas Majlis Kesyukuran PN Kedah di Kompleks Pas Kedah.
Muhammad Sanusi (kiri) pada sidang akhbar selepas Majlis Kesyukuran PN Kedah di Kompleks Pas Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) diajak untuk kembali menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau menyertai mana-mana parti Melayu sedia ada termasuk Pas.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana rakyat sudah muak dengan perpecahan parti Melayu sehingga menyebabkan wujudnya begitu banyak parti ditunjangi Melayu.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu, penolakan rakyat itu telah diterjemahkan melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan nama-nama besar dalam Pejuang tewas selain gagal meraih sebarang kerusi Parlimen.

Tak sesuai parti Melayu berpecah banyak sangat. Orang Melayu sudah tak mampu berpecah lagi. Saya rasa Pejuang patut memikirkan untuk menyertai mana-mana parti Melayu sedia ada, termasuklah Pas.

“Pejuang asalnya dalam Bersatu, berpecah jadi Pejuang. Baliklah kepada asal,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Kesyukuran PN Kedah di Kompleks Pas Kedah, pada Ahad.

Dalam PRU15 menyaksikan nama-nama besar dalam Pejuang termasuk pengasasnya, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pejuang gagal meraih walau satu kerusi Parlimen.

Dr Mahathir kecundang di Langkawi, termasuk anak beliau yang juga Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Jerlun. Kedua-dua anak beranak itu tewas pada calon PN.

Muhammad Sanusi berkata, Pejuang boleh mencontohi parti Semangat 46 yang sebelum ini dipelopori Tengku Razaleigh Hamzah yang kembali kepada UMNO selepas bertindak keluar daripada parti tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Dulu Semangat 46 boleh masuk semula dalam UMNO. Namun disebabkan tsunami rakyat, Tengku Razaleigh pun boleh kalah sedangkan 11 penggal. Ini kali pertama beliau tewas di Gua Musang.

“Rakyat tak mahu dah, mereka mahukan kerajaan yang stabil dan bersih. Terlalu banyak parti Melayu berpecah-pecah, yang akhir sekali itu tak boleh nak pecah dah. Jadi mungkinlah Pejuang jadi macam itu,” katanya lagi.

Menurut Menteri Besar Kedah itu lagi, pada ketika ini momentum PN dilihat berada di landasan betul selain diterima rakyat, yang diterjemahkan menerusi keputusan PRU15.

“Alhamdulillah, negara kita sedang menuju ke landasan yang tepat. Saya harap semua ahli-ahli Parlimen yang akan membentuk kerajaan memahami aspirasi rakyat untuk sentiasa kekal prihatin, bersih dan mengutamakan kestabilan,” katanya.