'Kami tidak bermula baik'

Sanchez
Sanchez
A
A
A

QATAR tetap merasakan aura pemain ke-12 walaupun para penyokong The Maroon meninggalkan stadium semasa separuh masa kedua, ketika kekalahan 0-2 kepada Ecuador dalam aksi pembukaan Piala Dunia pada Isnin.

Malah pengendali Qatar, Felix Sanchez menegaskan kehadiran para penyokong pasukan negara Teluk itu sememangnya satu suntikan dalam kalangan pemain pada penampilan pertama di kejuaraan berprestij tersebut.

“Sejujurnya suasana amat hebat, orang ramai sangat menantikan perlawanan ini kerana ia penampilan pertama Qatar di peringkat tinggi kejuaraan bola sepak dunia.

"Kami berasa disokong pada perlawanan ini dan berharap sokongan untuk perlawanan seterusnya. Para pemain akan berasa lebih dihargai dan bangga serta terus menyokong pasukan hingga ke penghujung kejohanan ini.

“Kami tahu kekalahan boleh berlaku dan keputusannya kadangkala sukar. Kami akan cuba belajar dari hari ini dan saya pasti kami akan membuatkan orang berasa lebih gembira dengan persembahan kami," katanya.

Suasana di Stadium Al Bayt sebelum itu riuh rendah semasa majlis perasmian kejohanan yang kemudian diikuti perlawanan pembukaan Qatar menentang Ecuador.

Bagaimanapun dua gol pada separuh masa pertama Ecuador, Enner Valencia jelas mematahkan semangat penyokong tuan rumah apabila stadium itu hampir kosong setelah mereka mula meninggalkan stadium berbaki 10 minit.

Pada perlawanan itu, Qatar terselamat pada minit kelima apabila video bantuan pengadil (VAR) teknologi separa automatik yang digunakan pertama kali membatalkan tandukan Valencia selepas pemain Ecuador dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Artikel Berkaitan:

Namun Ecuador bangkit semula apabila meledak dua gol dengan masa setengah jam jaringan Valencia untuk tiga mata pertama.

Mengenai kekalahan itu, Sanchez berkata: “Tiada alasan, kami ingin ucapkan tahniah kepada lawan kami pasukan Ecuador, mereka sememangnya berhak menang perlawanan ini.

“Terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan bagi Qatar. Mungkin tanggungjawab digalas dan perasaan gemuruh para pemain memberikan tekanan untuk mendapat yang terbaik dari kami. Kami tidak bermula dengan baik sebaliknya permulaan yang sebenarnya mengecewakan,” katanya.