Jumlah mangsa banjir di tiga negeri kekal, Selangor menurun

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di tiga negeri kekal manakala Selangor merekodkan penurunan setakat 8 pagi ini berbanding malam tadi.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kekal 24 orang daripada enam keluarga, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka.

Kesemua mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal adalah dari daerah Alor Gajah melibatkan Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau dan Kampung Belimbing.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kilat kekal 179 orang dengan dua daerah masih terjejas iaitu Tangkak dan Segamat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa yang terdiri daripada 47 keluarga itu masih ditempatkan di empat PPS.

JPBD turut memaklumkan, dua sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Muar (Buloh Kasap) dan Sungai Muar (Kampung Awat) di Segamat. Cuaca dilaporkan mendung di beberapa daerah termasuk Mersing, Pontian, Segamat, Batu Pahat, Tangkak dan Kulai.

Di KELANTAN, berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jumlah mangsa banjir termenung di Rantau Panjang, Pasir Mas kekal 30 orang membabitkan enam keluarga dan mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di SELANGOR, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Selangor memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 558 orang daripada 154 keluarga berbanding 637 membabitkan 172 keluarga malam tadi dengan 12 PPS dibuka iaitu empat di Sepang, tiga di Kuala Selangor dan lima di Kuala Langat.

Di PERAK, mangsa banjir di negeri itu meningkat dua orang kepada 866 orang daripada 243 keluarga dan kesemua mereka berlindung di sembilan PPS.
Artikel Berkaitan:


Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri melaporkan beberapa jalan di daerah Batang Padang dan Muallim dibuka kepada semua kenderaan kerana paras air telah surut manakala beberapa jalan di daerah Manjung ditutup untuk semua kenderaan berikutan laluan dinaiki air khususnya di Jalan Changkat jering-Seri Manjung-Kampung Koh. - Bernama