Terengganu belum mengalah

Tchetche (tengah) akan mengetuai jentera serangan TFC bagi menggempur kubu Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Isnin.
Tchetche (tengah) akan mengetuai jentera serangan TFC bagi menggempur kubu Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Isnin.
A
A
A

TERENGGANU FC (TFC) diminta memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri apabila melayani kunjungan Selangor FC dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Isnin.

Pengendali TFC, Nafuzi Zain berkata, kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri harus digunakan sebaik mungkin untuk mereka bangkit selepas mengalami kekalahan 1-3 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya minggu lalu.

Menurut Nafuzi, beliau optimis keputusan yang diraih sebelum ini mampu untuk diubah sekiranya barisan pemain berusaha dan yakin kepada diri mereka sendiri apabila berdepan Gergasi Merah.

“Dari segi permainan, saya rasa mereka bermain dengan baik. Apa yang saya lihat kami perlu memperbaiki kelemahan daripada cara bertahan dalam situasi set pieces.

“Kami juga perlu mencari dua gol terlebih dulu untuk menyamakan kedudukan (agregat). Saya tahu ia bukan satu tugas mudah kerana Selangor mempunyai pemain yang berkualiti.

“Namun, berdasarkan prestasi semasa ketika ini, saya percaya pasukan ini mampu untuk ke final, Insya-ALLAH. Sebab dalam bola sepak ini kita tahu apa-apa boleh terjadi.

“Kalau rezeki memihak kepada kita, kita akan pergi ke final. Cuma yang penting pemain-pemain kena yakin dan berusaha untuk mencipta kemenangan,” katanya.

Dalam pada itu, kapten TFC, Kipre Tchetche meminta ribuan penyokong mereka dapat hadir ke stadium untuk memberi sokongan padu kepada skuad Penyu.

Artikel Berkaitan:

Tchetche berkata, sebarang kealpaan bakal mengundang padah buat TFC, selain dia turut berharap rakan-rakan sepasukannya mengelak beraksi dalam tekanan.

“Inilah peluang kami untuk bangkit kerana bermain di laman sendiri, buat 'pemain ke-12' sorakan padu anda ditagih bagi memastikan tiket ke final menjadi millik TFC,” ujarnya.