PRU15: Gelombang hijau badai Kelantan, Terengganu

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kelantan dan Terengganu dilanda gelombang ‘tsunami lautan hijau’ apabila calon-calon menggunakan lambang Pas berjaya merampas semua 22 kerusi Parlimen termasuk kawasan yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Walaupun menggunakan logo atau tiket Pas, beberapa calon di Kelantan dan Terengganu juga sebenarnya merupakan calon Bersatu. Bersatu dan Pas merupakan parti gabungan di bawah Perikatan Nasional (PN).

Antara kubu kuat yang dikuasai BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi kini berjaya ditawan PN dan Pas di Kelantan termasuklah Machang, Ketereh, Jeli dan Gua Musang manakala Parlimen Besut dan Hulu Terengganu di Terengganu.

Kemenangan itu turut disumbangkan oleh kejayaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan kerusi Parlimen Marang apabila memperoleh 73,115 undi dengan majoriti 41,729 undi.

Bagaimanapun, kerusi paling mencuri tumpuan ialah kejayaan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menewaskan Pengerusi BN Kelantan di Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

Turut mencipta kejutan ialah Datuk Mohd Azizi Abu Naim (Pas) yang mengalahkan ahli Parlimen paling lama memegang jawatan sebagai wakil rakyat, selama 12 penggal iaitu Tengku Razaleigh Hamzah di kubu kuatnya di Gua Musang.

Pada masa sama, BN terpaksa membayar harga yang mahal kerana tindakan menggugurkan nama bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa sebagai calon di Ketereh apabila penggantinya, Marzuani Ardila Ariffin tewas kepada wakil Pas, Mejar Jeneral (B) Datuk Khilir Mohd Nor.

Penolong Setiausaha Agung Pas merangkap Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Syahir Sulaiman pula berjaya mempertahankan kubu kuat Pas di Bachok dengan menewaskan Datuk Mohd Zain Yasim (BN), Nor Azmiza Mamat (PH), Kamarul Azam Osman (Gabungan Tanah Air) dan Mohd Zulkifli Zakaria (Bebas).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said turut tewas di kerusi Parlimen Kemaman kepada Che Alias Hamid (Pas).