Othman letak jawatan Timbalan Pengerusi UMNO Kedah

Othman Aziz ketika sidang media mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah di sebuah hotel di Alor Setar pada Ahad.
Othman Aziz ketika sidang media mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah di sebuah hotel di Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz mengumumkan melepaskan jawatan terbabit susulan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri itu.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, calon diletakkan BN termasuklah dirinya didapati tewas di kawasan masing-masing dan kekalahan itu melibatkan majoriti besar.

Othman menyifatkan kekalahan BN kali ini merupakan isyarat satu penolakan mutlak orang Melayu terhadap UMNO ketika ini.

"Jadi, saya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah merasakan sudah sampailah masanya saya meletakkan jawatan sebagai tanggungjawab moral dari segi kekalahan tersebut.

"Kita telah pun mencuba sehabis baik dan menerima ini adalah satu penolakan mutlak orang Melayu terhadap UMNO ketika ini dan sudah tentulah kita perlukan satu baik pulih dari segi kepimpinan UMNO itu sendiri," katanya ketika sidang media di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Beliau juga menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berfikir secara terbuka dan berjiwa besar untuk melepaskan jawatannya.

"Saya kira orang-orang Melayu sendiri telah pun memberi satu petanda yang cukup jelas bahawa mereka bukan sayangkan Perikatan Nasional (PN) itu sangat.

"Dalam masa yang sama mereka tidak membencikan UMNO tapi mungkin besar kemungkinan mereka tidak suka gaya dan cara pemimpin UMNO membawa dan mengemudi parti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berpandangan, UMNO kini perlu memberi ruang dan peluang kepada muka baharu untuk menerajui parti itu.

"UMNO perlu mengorak langkah untuk memastikan terus relevan di masa depan meskipun nasi sudah menjadi bubur," katanya.

Beliau turut berpandangan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga perlu berjiwa besar menarik diri daripada jawatan terbabit.

"Kita semua adalah bertanggungjawab dan (bagi) hal urusan berkaitan dengan ketua bahagian itu, ketua bahagian masing-masing itu isu lain sebab itu telah dipilih oleh parti melalui pemilihan peringkat bahagian.

"Tapi jawatan lantikan ini saya rasa eloklah beliau juga mengundurkan diri supaya kita dilihat belajar dari kesilapan dan memberi ruang kepada orang lain untuk mengambil alih dan seterusnya melakar strategi dan perancangan yang sesuai dengan suasana dalam keadaan ini.

"Kita mendapati terdapat ramai lagi tokoh-tokoh lain yang mampu untuk membawa dan mengemudi parti ini sama ada peringkat atas mahupun di peringkat negeri," katanya.