Jong-un dedah wajah anak perempuan buat pertama kali

Jong-un (kanan) memimpin tangan anak perempuannya ketika memeriksa ICBM baharu, Hwasong Gun 17 sebelum ujian pelancarannya. - Foto AFP
Jong-un (kanan) memimpin tangan anak perempuannya ketika memeriksa ICBM baharu, Hwasong Gun 17 sebelum ujian pelancarannya. - Foto AFP
A
A
A

PYONGYANG - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada Sabtu akhirnya mendedahkan wajah generasi keempat keluarganya kepada umum buat pertama kali menerusi gambar yang memaparkan beliau bersama anak perempuannya.

Sebelum ini, media tempatan tidak pernah melaporkan tentang kewujudan 'anak' Jong-un, namun KCNA menerusi laporan pertama mereka menunjukkan foto itu dengan kapsyen, 'bersama isteri dan anak perempuan kesayangannya' semasa mengawasi pelancaran misil balistik antara benua (ICBM) baharu, Hwasong Gun 17.

Gambar itu jelas menunjukkan kemesraan Jong-un sebagai bapa bersama anaknya sewaktu berjalan sambil berpimpin tangan ketika meraikan kejayaan ujian misil tersebut.

Jong-un yang merupakan cucu kepada pengasas Pyongyang, Kim Il Sung dan menjadi generasi ketiga legasi keluarganya yang memimpin negara itu berkahwin dengan Ri Sol Ju pada 2009.

Menurut agensi risikan Seoul, Sol Ju melahirkan anak pertama mereka kira-kira setahun selepas itu dan disusuli cahaya mata kedua pada 2013 dan ketiga pada 2017.

Difahamkan, satu-satunya pengesahan tentang kewujudan anak perempuan Jong-un pernah dibuat bekas bintang NBA, Dennis Rodman yang berkunjung ke Korea Utara pada 2013 dan mengaku bertemu dengan si kecil yang dipanggil Ju Ae.

"Jong-un adalah seorang bapa yang baik," kata Rodman pada masa itu. - AFP

Artikel Berkaitan: