Enam negeri masih terjejas banjir, jumlah mangsa menurun

Bilangan negeri yang terkesan banjir kekal enam. Gambar fail Bernama
Bilangan negeri yang terkesan banjir kekal enam. Gambar fail Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Bilangan negeri yang terkesan banjir kekal enam dengan 13 daerah di Perak, Selangor, Melaka, Johor, Kelantan dan Sarawak masih terjejas setakat jam 4 petang ini, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Dalam kenyataan pada Ahad, Nadma memaklumkan seramai 1,789 mangsa daripada 511 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan masih berada di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.

"Jumlah ini menunjukkan penurunan berbanding laporan jam 8 pagi apabila terdapat 2,530 mangsa daripada 691 KIR sedang berlindung di PPS seluruh negara,” katanya.

Menurut Nadma, empat PPS ditutup hari ini iaitu PPS Putat Tujuh dan PPS Sekolah Kebangsaan Kubang Kual di Pasir Mas, Kelantan serta PPS Dewan Bagan Nakhoda Omar dan Dewan Hala Cara Baru, Sabak Bernam, Selangor.

Menurut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sehingga jam 4 petang ini empat sungai merekodkan bacaan paras air berada di tahap bahaya iaitu Marudi, Long Jegan dan Long Teru di Miri, Sarawak serta Sungai Bernam di Kampung Sungai Selisek, Hulu Selangor.

Kata Nadma, enam sungai dengan bacaan air berada di tahap amaran pula adalah Sungai Selangor di Rantau Panjang, Kuala Selangor dan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat di Selangor.

Dua sungai di Bera, Pahang mencatat bacaan air di tahap amaran ialah Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang dan Sungai Triang di Triang, sementara di Segamat, Johor dua sungai dengan bacaan air di tahap amaran ialah Sungai Muar di Buloh Kasap dan di Kampung Awat.

Menurut Nadma sehingga petang ini tidak ada kejadian banjir signifikan di dua kawasan di Selangor iaitu stesen Sungai Batang Kali di Batang Kali, Hulu Selangor dan stesen Sungai Selangor, Rantau Panjang, Kuala Selangor.

Jabatan Kerja Raya (JKR) pada jam 2 petang melaporkan dua lokasi terkesan kejadian banjir, lapan lokasi cerun runtuh, dua lokasi jalan mendap dan dua lokasi yang dimaklumkan terdapat kejadian jambatan rosak/ runtuh menjadikan jumlah keseluruhan adalah 14 lokasi, kata kenyataan itu.
Artikel Berkaitan:


Menurut Nadma, kejadian itu berlaku masing-masing di dua daerah di Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan serta masing-masing satu di Perak, Terengganu dan Johor melibatkan tujuh Jalan Persekutuan dan tujuh jalan negeri.

Sementara itu Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan berasingan pada jam 4.35 petang mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga 9 malam ini yang dijangka di Kelantan melibatkan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang; Kemaman, Terengganu; Kuantan Pahang serta Segamat, Kluang dan Mersing di Johor.

Sementara di Sarawak, kawasan diramalkan mengalami ribut petir ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Pakan, Sarikei dan Meradong di Sarikei serta Tanjung Manis di Mukah.

Di Sabah, kawasan terlibat ialah Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan serta Pitas di Kudat.- Bernama