PRU15: Akar umbi mula desak Zahid berundur

Ketua Penerangan Baju Merah, Ariffin Abu Bakar bersama sekumpulan ahli UMNO melaungkan 'Zahid undur, no DAP dan no Anwar' di lobi Ibu Pejabat UMNO di WTC petang Ahad. -Foto: Mohd Halim Abdul Wahid
Ketua Penerangan Baju Merah, Ariffin Abu Bakar bersama sekumpulan ahli UMNO melaungkan 'Zahid undur, no DAP dan no Anwar' di lobi Ibu Pejabat UMNO di WTC petang Ahad. -Foto: Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Desakan untuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengundur diri semakin kuat susulan kekalahan besar BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Terbaharu, sebilangan pemimpin UMNO Bahagian Bukit Bintang berhimpun di ibu pejabat parti itu di Menara Dato' Onn, di sini bagi menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin nombor satu parti itu.

Ketua UMNO Cawangan KLCC, Datuk Seri Dzulkarnain Taib berkata, sebagai pemimpin utama parti, Zahid perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan kekalahan memalukan ini.

"Kekalahan ini disebabkan kedegilan Zahid untuk meneruskan pilihan raya walaupun pelbagai pihak mendesak agar ia diadakan tahun depan.

"Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menasihatkan agar kepentingan rakyat diutamakan daripada terus berpolitik demi kepentingan peribadi.

"Inilah natijahnya apabila nasihat Agong sendiri tak diikuti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli UMNO Bahagian Bukit Bintang melaungkan undur Zahid di Ibu Pejabat UMNO petang Ahad.
Ahli UMNO Bahagian Bukit Bintang melaungkan undur Zahid di Ibu Pejabat UMNO petang Ahad.

Ketua UMNO Cawangan Jalan Hang Jebat, Mohd Zailan Mokhtar pula berkata, Zahid dilihat lebih mementingkan agenda peribadi berbanding kepentingan parti.

Justeru, beliau melihat salah satu faktor kekalahan besar BN kali ini adalah disebabkan Zahid.

"Kami ahli parti bekerja keras demi parti tapi beliau bawa agenda peribadi dalam parti. Kami sangat kecewa dengan Zahid, apatah lagi dengan desas-desus UMNO ingin bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

"Kenapa nak bawa penggabungan ini sehingga terpaksa bekerjasama dengan DAP? Kami akar umbi yang kerja bermati-matian untuk UMNO, menolak kerjasama dengan PH," jelasnya.

Sementara itu, Gerakan Baju Merah turut menuntut agar Ahmad Zahid meletakkan jawatan dan bertanggungjawab di atas kekalahan teruk BN.

Ketua Penerangan Gerakan Baju Merah, Ariffin Abu Bakar berkata, jika Ahmad Zahid tidak meletakkan jawatan, mereka akan bertindak lebih lantang seperti yang berlaku ketika Bersih 2.0 dahulu.

"Kami mahu kestabilan politik untuk negara bukannya untuk tengkuk sendiri. Baju merah tidak akan duduk diam," katanya sambil melaungkan jeritan 'undur Zahid'.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!