'Terima kasih warga Bentong' - Rara

Suasana ceria kem Rara selepas beliau diumumkan menang kerusi Parlimen Bentong pada PRU15.- Foto FB Young Syefura Othman
Suasana ceria kem Rara selepas beliau diumumkan menang kerusi Parlimen Bentong pada PRU15.- Foto FB Young Syefura Othman
A
A
A

BENTONG - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menyifatkan kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan kemenangan mudah kerana majoriti rendah yang diperolehinya.

Young atau lebih dikenali Rara meraih 25,075 undi dengan majoriti kecil, 692 undi menewaskan pencabar terdekat, calon BN, Tan Sri Liow Tiong Lai (24,383), Datuk Roslan Hassan daripada Perikatan Nasional (PN) yang meraih 16,233 undi serta dua calon Bebas, Wong Tack (798) dan Achik Khalil (168).

"Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana telah mengurniakan kejayaan ini. Terima kasih kepada semua warga Bentong yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas sebagai ahli Parlimen anda.

"Saya akui, majoriti diperolehi adalah rendah namun inilah yang akan menjadi pembakar semangat untuk bekerja keras memperolehi kepercayaan dari warga Bentong," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujar Rara, beliau kini adalah wakil rakyat kepada semua warga Bentong, tidak kira agama, bangsa mahupun pegangan politik.

"Saya akan menjalankan tugas sebaik mungkin agar matlamat dan visi untuk Bentong akan tercapai. Saya adalah suara kepada anda semua di Dewan Rakyat," tambah Rara.

Rara berkongsi kejayaan bersama suaminya, Edrin Nordin. - Foto FB Young Syefura Othman
Rara berkongsi kejayaan bersama suaminya, Edrin Nordin. - Foto FB Young Syefura Othman

Dalam pada itu, beliau juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan yang telah membantu dirinya sepanjang kempen.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih khas buat kumpulan sukarelawan ejen tempat dan kira undi (PACA) yang datang dari luar Bentong untuk membantu semua calon-calon Pakatan Harapan (PH) Bentong pada PRU15 kali ini.

"Kini sudah tiba masa saya bekerja untuk Bentong yang kita sayangi ini. Saya mohon kerjasama dari semua pihak agar kita sama-sama dapat memajukan Bentong. Insya-ALLAH, amanat ini akan saya pikul dan laksana dengan sebaik mungkin," jelas beliau.

Sebelum ini, Rara memenangi kerusi DUN Ketari pada PRU14 lalu dan dicalonkan oleh PH untuk bertanding di kerusi Parlimen Bentong pada PRU15.