PRU15: Elak sindrom penafian, pimpinan UMNO perlu tanggungjawab

Samsolbari
Samsolbari
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menilai kembali kekuatan dan kelemahan sebenar parti agar tidak terperangkap dalam sindrom penafian selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak memihak gabungan itu.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, pucuk pimpinan parti harus berlapang dada, berjiwa besar dan bertanggungjawab di atas apa yang berlaku.

Selain itu, jelasnya, realiti sebenar yang berlaku pada PRU15 perlu diterima dengan tindakan penambahbaikan dibuat dari dalam parti dan sepatutnya bermula dari pucuk pimpinan.

"Malaysia memilih, kita akur dengan keputusan pilihan rakyat dalam PRU15. Ini kerana keputusan tersebut mencerminkan citarasa dan aspirasi pengundi dari pelbagai peringkat umur dan bangsa.

"Saya berpendapat UMNO perlu bersyukur di atas sokongan yang diraih dan sokongan ahli yang sedia ada," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

ADUN Semarang itu menambah, UMNO harus menjunjung tinggi kepentingan ummah pada masa akan datang supaya terpelihara selari dengan tekad parti ini yang memperjuangkannya.

"Pucuk kepimpinan harus berlapang dada menerima realiti bahawa pembaikan perlu dibuat pucuk pimpinan bermula dari dalam parti.

"Sekali lagi, saya menekankan bahawa wadah perjuangan untuk kestabilan dan kesejahteraan ummah perlu diutamakan. Parti perlu lakukan yang terbaik untuk menjayakannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU15, BN hanya mendapat sembilan kerusi Parlimen di Johor iaitu di Parlimen Parit Sulong, Ayer Hitam, Simpang Renggam, Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Pontian, Tanjung Piai dan Sembrong.