PRU15: 7 muka baharu GPS tambat hati pengundi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Wajah baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkesan menunjukkan keupayaan mereka memenangi hati rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Separuh daripada 14 muka baharu termasuk seorang bekas senator berjaya memenangi percubaan pertama mereka bertanding di peringkat Parlimen.

Penubuhan gabungan itu terdiri daripada empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Ahli Parlimen Batang Sadong yang baharu, Rodiyah Sapiee dari PBB menggantikan Datuk Seri Nancy Shukri merupakan antara muka baharu yang diumumkan oleh gabungan tersebut.

Bekas Senator Datuk Seri Doris Sophia Brodie merangkap Ketua Wanita PRS berjaya memenangi kerusi Sri Aman sekali gus menjadi wanita Dayak pertama memegang jawatan sebagai ahli Parlimen.

Sementara, Datuk Willie Mongin berjaya mengekalkan kerusi Puncak Borneo di bawah tiket GPS-PBB kali ini. Sebelum ini, beliau memenanginya atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRU14.

Bagi calon PBB baharu, Mohammad Shafizan Kepli (Batang Lupar) dan Dr Richard Rapu (Betong) turut memenangi kerusi di kawasan masing-masing dengan majoriti 14,463 dan 11,302 undi.

Dalam pada itu, calon PRS Roy Angau Gingkoi dan Edwin Banta pula masing-masing memperoleh undi terbanyak di Lubok Antu dan Selangau.

Artikel Berkaitan:

Separuh daripada calon muka baharu itu bagaimanapun tidak berjaya mendapatkan kerusi yang ditandingi pada PRU kali ini.

Antara calon tersebut adalah Lideng Disen (PDP) di kerusi Mas Gading diikuti Eric Tay Tze Kok dari SUPP (Bandar Kuching), Lo Khere Chiang dari SUPP (Stampin), Giendam Jonathan Tait dari PDP (Saratok), Wong Ching Yong dari SUPP (Lanang), Clarence Ting Ing Horh dari SUPP (Sibu) dan Jeffrey Phang Siaw Foong dari SUPP (Miri).

Sementara itu, seramai 10 calon bertanding atas tiket bebas di Sarawak pada PRU15 tidak berjaya memenangi sebarang kerusi.

Mereka adalah antara 92 calon yang pernah bertanding di 31 kerusi Parlimen di negeri ini.

Antara calon bebas tersebut adalah Affendi Jeman yang bertanding di Santubong; Dr Alim Impira (Serian); Datuk Masir Kujat (Sri Aman); Hasbie Satar (Betong) dan Elly Lawai Ngalai (Julau).

Sementara itu, tiga calon bebas, Michael Lias, George Chen dan Dr Elli Luhat yang bertanding di kerusi Kanowit juga tidak berjaya memenangi kerusi berkenaan.

Datuk Wong Ting Kiong yang bertanding sebagai calon bebas di kerusi Parlimen Lanang juga tidak berjaya merampas kerusi Parlimen itu.

Bagi di Selangau pula, Henry Joseph Usau yang bertanding sebagai calon Bebas juga tidak berpeluang menawan kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, bagi kerusi Parlimen Baram pula, nasib Wildredentika yang bertanding sebagai calon Bebas masih belum diketahui.

Ia memandangkan proses pengundian ditangguhkan susulan keadaan cuaca yang buruk manakala tarikh baharu pengundian akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.