PRU15: Hanya menang satu kerusi, PBM akur keputusan rakyat

Larry satu-satunya calon PBM yang berjaya memenangi kerusi pada PRU15. - Foto Bernama
Larry satu-satunya calon PBM yang berjaya memenangi kerusi pada PRU15. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka apabila hanya menang satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PBM dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berbakti.

Menurut PBM, pihaknya akan meneruskan usaha untuk membawa perubahan dan kemajuan dalam meningkatkan lagi taraf hidup rakyat yang berbilang kaum.

"PBM telah bertanding di lima kerusi Dewan Rakyat iaitu Julau, Ampang, Hulu Selangor, Kapar dan Labuan.

"Sementara itu, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tronoh di Perak dan Bugaya di Sabah.

"Daripada semua yang ditandingi, PBM hanya memperoleh satu kerusi melalui Parlimen Julau yang dimenangi presiden parti, Datuk Larry Sng," ujar PBM pada Ahad.

Larry berjaya memenangi kerusi Parlimen Julau di Sarawak dengan majoriti 1,340 undi menewaskan tiga saingan lain iaitu Joseph Salang dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Susan George (Parti Bangsa Dayak Sarawak) dan Elly Lawai Ngalai (Bebas).

Joseph memperoleh 7,819 undi manakala Elly mendapat 5,224 undi, sementara Susan hanya memperoleh 335 undi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, PBM menyampaikan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang telah memberikan sokongan kepada calon-calon mereka.

"Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli PBM, rakan-rakan media dan juga kepada semua pihak secara langsung atau tidak langsung kerana telah membantu kami dalam menghadapi PRU15 pada kali ini," jelas parti itu.