Aminuddin pertahan penguasaan PH di Port Dickson

Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk M. Ravi (tiga dari kiri) dan pasukan PH meraikan kemenangan gabungan itu di Port Dickson.
Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk M. Ravi (tiga dari kiri) dan pasukan PH meraikan kemenangan gabungan itu di Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berjaya mempertahankan penguasaan Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang pertama kali bertanding kerusi Parlimen selepas diberi kepercayaan untuk mengambil alih khidmat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di situ menang dengan majoriti 23,601 undi.

Naib Presiden PKR itu mendapat 42,013 undi menewaskan pencabarnya, Datuk P Kamalanthan(BN) yang memperoleh 18,412 undi dan Rafiei Mustapha (Perikatan Nasional) memperoleh 18,235 undi.

Selain itu, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri (Pejuang) memperoleh 1,084 undi dan Abdul Rani Kulup Abdullah(Bebas) hanya memperoleh 441 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Port Dickson, Khairy Maamor pada jam 2.50 pagi di Pusat Penjumlahan Undi di Kompleks Pentadbiran Port Dickson di sini pada Ahad.

Untuk rekod, Anwar memenangi kerusi Port Dickson pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan dengan majoriti 23,560 undi dengan memperoleh 31,016 undi.

PRK itu menyaksikan pertembungan tujuh penjuru yang mana lima daripadanya merupakan calon Bebas, dua daripadanya ialah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Saiful Bukhari Azlan.

PRK Parlimen itu diadakan selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi berkenaan pada 12 September 2018 bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14 lalu, Datuk Danyal menang dengan majoriti agak baik iaitu 17,710 yang mana beliau memperoleh 36,225 undi dalam pertembungan tiga penjuru antara Pas dan BN.