Bincang dengan Sabah, Sarawak dan alukan parti lain sertai PN

Muhyiddin bersama pimpinan utama PN pada sidang media keputusan PRU15 di Pusat Media Utama PN di Shah Alam pada pagi Ahad.
Muhyiddin bersama pimpinan utama PN pada sidang media keputusan PRU15 di Pusat Media Utama PN di Shah Alam pada pagi Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin akan berbincang dengan pimpinan parti Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat.

Menurutnya, PN juga mengalu-alukan parti lain yang sedia menerima dasar parti tersebut sekali gus membentuk kerajaan yang bersih dan stabil.

Bagaimanapun, beliau menegaskan PN tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

"Setakat ini, respons parti Sabah dan Sarawak amat menggalakkan.

"Kita juga ada terima surat daripada pihak Istana Negara. Kandungan itu saya tak perlu sebutkan yang telah beri kepada kita perkara yang perlu disempurnakan mengikut kehendak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Perkara ini memerlukan kita mengambil langkah secepat mungkin, bermakna sebahagian perbincangan akan dilakukan pada esok dan harap dapat dimuktamadkan sebelum petang esok," katanya dalam sidang media di Pusat Media Utama PN pada Ahad.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah PN akan bekerjasama dengan BN, Muhyiddin tidak menjelaskannya sebaliknya sekali lagi menegaskan sedia menerima parti yang sanggup mengikuti perjuangan PN.

"Kita bersedia dengan mana-mana parti. Saya tidak sebut particular UMNO selain turut bersedia dengan parti di Sabah dan Sarawak juga.

Artikel Berkaitan:

"Ini kita serahkan kepada kebijaksanaan pimpinan tertinggi PN mengambil kira situasi dan keadaan tertentu termasuk pandangan yang telah disuarakan ramai dalam kalangan pimpinan tertinggi kita.

"Yang penting kita harap dengan PN mengetuai kerajaan ini, maka kita akan dapat melahirkan suasana politik yang paling stabil.

"Ini juga bermakna bahawa kita perlu mengambil kira pihak tertentu dalam parti lain. Kalau mereka ini sehaluan dan bersedia menerima dasar yang akan diketuai oleh PN, kita akan timbangkan dengan secara teliti dan mendalam," katanya.

Beliau berkata, sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan bersama parti lain yang sehaluan, tumpuan PN adalah untuk melaksanakan semua tawaran PN Best yang dikemukakan kepada rakyat semasa tempoh berkempen.

"Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada pengundi di seluruh negara yang beri sokongan padu kepada PN.

"Gelombang sokongan rakyat kepada PN terutama pengundi muda membolehkan PN capai kejayaan luar jangka," katanya.

Setakat jam 3.45 pagi, PN telah berjaya memenangi 73 Kerusi Parlimen selain telah membentuk kerajaan di Perlis.