PRU15: Anwar turun Tambun lepas mengundi di Permatang Pauh

Anwar ketika meninjau proses pengundian di SK Manjoi 2 di sini pada Sabtu.
Anwar ketika meninjau proses pengundian di SK Manjoi 2 di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Penanti, Permatang Pauh, Pulau Pinang, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke kawasan ditandinginya di Tambun meninjau proses pengundian.

Lokasi pertama yang dilawati di SK Manjoi 2, di sini kira-kira jam 10.55 pagi sambil diiringi calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi.

Beliau mengambil masa kira-kira 15 minit menyantuni pengundi di pusat mengundi berkenaan sebelum bergerak ke lokasi seterusnya.

Ketika ditemui pemberita, Anwar berpuas hati dengan peratusan semasa keluar mengundi yang disifatkan amat baik.

"Setakat ini baik cuma saya lihat ada beberapa saluran yang terpaksa beratur panjang dan ada masalah akses internet bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tapi saya difahamkan ini dah dibetulkan.

"Kalau ikut peratusan setakat ini baik kerana ramai bimbang cuaca hujan di sebelah petang," katanya.

Di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al-Ihtidaiyah, Jalan Ampang, Tambun di sini, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi pengundi terawal yang membuang undi.

Beliau tiba di pusat mengundi itu kita kira-kira jam 7.55 pagi diiringi isteri, Datin Seri Nomee Ashikin Mohammed Radzi dan selesai mengundi pada 8.05 pagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, selain Ahmad Faizal, turut membuang undi di kawasan Parlimen ini ialah calon BN, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

Beliau bersama isteri, Datin Rosnizan Abdul Aziz tiba di Sekolah Kebangsaan Tanah Hitam, Chemor pada jam 9.05 pagi dan selesai membuang undi jam 9.15 pagi.

Bagaimana pun, seorang lagi calon kerusi Parlimen Tambun mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Abdul Rahim Tahir membuang undi di Pantai Remis.

Kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru, membabitkan Ahmad Faizal selaku penyandang menentang Aminuddin, Anwar dan Abdul Rahim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).