PRN: Pas Perak tumpu 24 kawasan di Selangor, Pulau Pinang

Razman Zakaria
Razman Zakaria
A
A
A

IPOH - Pas Perak sedang membuat persediaan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang dan Selangor tidak lama lagi.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, tumpuan pihaknya membantu jentera pilihan raya melibatkan 24 kawasan di kedua-dua negeri berkenaan.

"Himpunan jentera membantu pilihan raya akan diadakan pada 24 Jun ini di Tanjung Malim kerana kita akan bantu Selangor dan Pulau Pinang.

"Kita akan bantu di 24 kawasan, 12 di Selangor dan 12 kawasan di Pulau Pinang.

"Kita akan buat sebaik mungkin untuk bantu negeri ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu Tanah Rizab Melayu di Meru Raya di sini pada Rabu.

Razman yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak berkata, keputusan PRN itu dijangka memberi impak kepada Perak.

Ditanya mengenai pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Razman berkata, bekas Ahli Parlimen Tambun itu masih kekal sebagai Pengerusi PN Perak.

"Dia (Ahmad Faizal) masih lagi kekal sebagai Pengerusi PN Perak, itu semua keputusan antara gabungan parti dan kita jalankan tugas masing-masing seperti biasa," jelasnya.

Sinar Harian melaporkan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar meramalkan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bakal diadakan serentak awal bulan Ogos nanti.

Menurut Wan Ahmad, keputusan itu amat signifikan kerana tempoh berakhir penggal pentadbiran beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti Selangor, Kelantan dan Terengganu bakal mencapai tempoh matang dan terbubar secara automatik pada akhir Jun ini.