PN mesyuarat bincang kerusi Tioman: Hamzah

Hamzah selesai membuang undi di Pusat Pembuangan Undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bayor pada Sabtu.
Hamzah selesai membuang undi di Pusat Pembuangan Undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bayor pada Sabtu.
A
A
A

LARUT - Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan mesyuarat khas, petang ini bagi membincangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mesyuarat itu susulan kematian calon PN daripada Pas, Md Yunus Ramli, awal pagi Sabtu.

Menurutnya, perbincangan yang akan melibatkan semua pimpinan tertinggi PN itu antara lain bagi mengemukakan calon baharu di kerusi berkenaan.

"Hari ini kita ada mesyuarat dan saya akan membincangkan perkara ini untuk meletakkan calon baharu jika dipanggil menamakan calon.

"Ini proses biasa bagi mana-mana calon yang telah meninggal dunia yang mana kita akan pastikan perbincangan dibuat di peringkat tertinggi PN," katanya pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga calon PN Parlimen Larut ditemui selepas selesai membuang undi di Pusat Pembuangan Undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bayor.

Hamzah berkata, pemilihan calon baharu di kerusi DUN Tioman itu nanti akan diberi keutamaan kepada Pas dahulu.

"Jika Pas beritahu ya, kita ada calon, maka kita teruskan kerana dalam soal ini, tak kiralah kerusi itu kerusi Pas, Bersatu atau Gerakan, yang penting kita mencari calon berkaliber," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media melaporkan, Md Yunus, 61, meninggal dunia pada jam 3.30 pagi akibat komplikasi jantung.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek kemudiannya menangguhkan proses pengundian bagi kerusi DUN Toiman.

Penangguhan itu hanya melibatkan kerusi DUN berkenaan sahaja manakala pemilihan bagi kawasan Parlimen Rompin akan dilakukan seperti biasa.