[VIDEO] Khairy rindu pengundi Rembau

Khairy menunjukkan jari berdakwat ketika mengundi di pusat mengundi Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim Ulu Gadong, Rembau pada Sabtu.
Khairy menunjukkan jari berdakwat ketika mengundi di pusat mengundi Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim Ulu Gadong, Rembau pada Sabtu.
A
A
A

REMBAU - "Saya sayang Rembau dan Sungai Buloh". Itu reaksi penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditanya media Parlimen manakah yang lebih disayangi memandangkan kini bertanding di Parlimen Sungai Buloh.

Beliau yang ditemui media selepas mengundi di pusat mengundi di Sekolah Menengah

Agama Haji Mohd Yatim Ulu Gadong di sini berkata, terlalu banyak memorinya sebagai Ahli Parlimen di Rembau yang sukar dilupakan.

"Banyak sangat, 14 tahun nak menyingkap kembali memori indah itu terlalu banyak. Tapi saya tidak tinggalkan Rembau dan masih ahli (UMNO) di sini.

"Jika saya dipilih berkhidmat di Sungai Buloh pun, saya masih boleh berkhidmat di Rembau," katanya.

Beliau turut mengakui rindu dengan pengundi Rembau dan gembira dapat pulang mengundi calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Khairy berkata, beliau berharap Mohamad menang bergaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini di Parlimen Rembau.

"Saya rasa gembira dapat balik Rembau mengundi dan saya telah mengundi untuk Tok Mat.

"Saya tiada pilihan lain dan beliau memang calon pilihan saya dan saya harap dia menang bergaya kali ini," katanya.

Dalam pada itu, Khairy yang merupakan Menteri Kesihatan turut mengingatkan orang ramai supaya keluar mengundi lebih awal kerana keadaan cuaca yang tidak menentu.