PRU15: Tengku Zafrul curi tumpuan beratur bersama pengundi

Tengku Zafrul (tiga dari kanan) beratur bersama pengundi lain di SK Puncak Alam di sini pada Sabtu.
Tengku Zafrul (tiga dari kanan) beratur bersama pengundi lain di SK Puncak Alam di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Calon BN Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mencuri tumpuan apabila beratur bersama pengundi lain di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam di sini pada Sabtu.

Tengku Zafrul yang tiba kira-kira jam 8.15 itu menunggu giliran sebelum petugas pilihan raya meminta beliau terus masuk ke pusat pembuangan undi.

Tengku Zafrul ketika ditemui memberitahu, sebaik tiba di pusat pengundian itu, beliau ingin beratur bersama-sama pengundi lain kerana tidak mahu mengganggu proses pengundian.

"Sebenarnya saya hendak beratur tadi, tetapi ramai pula ambil gambar dan selepas itu (petugas) SPR memaklumkan kepada saya tidak perlu beratur dan saya terus ke depan selepas dinasihati," katanya pada sidang akhbar selepas mengundi di SK Puncak Alam 2 di sini pada Sabtu.

Ditanya tentang proses pengundian, Tengku Zafrul memberitahu, beliau menjangkakan ramai pengundi di Parlimen itu keluar mengundi terutama dalam keadaan cuaca mendung dan tidak panas.

"Saya rasa kalau cuaca terus begini, ramai akan keluar sebab kawasan Kuala Selangor sejak tengah malam tadi hujan dan baru berhenti pagi tadi (Sabtu)," kata beliau.

Beliau memberitahu, semasa dalam perjalanan ke SK Puncak Alam 2, beberapa tempat pembuangan undi menyaksikan orang ramai sudah beratur bagi melaksanakan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Harapan saya terutama (di Parlimen) Kuala Selangor ini memang peratusan keluar mengundi itu tinggi, sebelum ini 80 peratus," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, jelas beliau, jumlah pengundi pada kali ini berbeza berbanding pilihan raya sebelumnya berikutan terdapat undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Ujar Tengku Zafrul, beliau ingin melihat amalan proses demokrasi berjalan lancar dan pengundi bersama-sama menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Lebih ramai pengundi keluar mengundi lebih bagus kerana inilah sistem demokrasi kita," jelas beliau.

Tengku Zafrul memberitahu, besar harapan beliau agar rakyat di Parlimen itu membuat keputusan terbaik untuk memilih calon terbaik.

"Saya harapkan pastilah supaya saya dipilih sebagai wakil rakyat (Ahli Parlimen) Kuala Selangor dan harapan saya ialah kita juga dapat bentuk kerajaan.

"Kalau dipilih sebagai wakil rakyat, memanglah kita sudah buat akujanji dalam manifesto untuk memberikan segalanya kepada rakyat di Kuala Selangor, tapi yang pentingnya sesiapa yang menang atau kalah, inilah prinsip demokrasi dan kita kena hormat apa yang rakyat mahukan," jelasnya.

Pada PRU15, Tengku Zafrul ditentang penyandang dari Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, calon daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Shaid Rosli dan Mohd Noor Mohd Sahar (PN-PAS).