'Sudah lama pantau potensi Azeem'

Muhammad Azeem
Muhammad Azeem
A
A
A

PENDEKATAN dan kesungguhan dipamerkan ketua jurulatih trek dan balapan Universiti Auburn, Alabama Leroy Burrell serta penolongnya, Ken Harnden disifatkan faktor penarik jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi memilih melanjutkan pelajaran di universiti Amerika Syarikat (AS) tersebut.

Bapa Azeem, Mohd Fahmi Tajuid ketika mendedahkan perkara tersebut memberitahu, Burell yang juga bekas pemegang rekod 100 meter (m) dunia turut berjanji membantu melonjakkan prestasi Azeem Fahmi bagi mengembangkan karier olahraga atlet itu di universiti berkenaan.

“Kedua-dua jurulatih iaitu Burrell dan Harnden, mereka sangat terbuka. Sebenarnya, mereka sudah melihat prestasi Azeem menerusi video sejak berusia 15 tahun, ketika itu dia mencipta rekod peringkat remaja dalam acara 200m pada 2019.

“Mereka juga bertanyakan pandangan jurulatih, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah mengenai prestasi dan perkembangan Azeem. Mereka sangat menghormati Amir dan tahu Malaysia ada jurulatih dan atlet yang baik.

“Burrell memaklumkan yang mereka akan rancang program yang berkesan untuk Azeem, apa yang perlu ditingkatkan dan ditambah baik apabila Azeem memulakan pengajian dan latihannya di Universiti Auburn,” katanya.

Atlet berusia 18 tahun itu sebelum itu memilih Universiti Auburn sebagai destinasi melanjutkan pengajian dan pengembangan karier olahraganya.

"Malaysia to Auburn. Welcome home, Azeem Fahmi (Malaysia ke Auburn. Selamat datang, Azeem Fahmi)," umum Auburn Track and Field dalam platform media sosialnya awal Jumaat

Azeem sebelum ini dilaporkan menerima tawaran melanjutkan pelajarannya di universiti luar negara, terutama selepas menduduki tempat kelima acara 100m Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Pelari dari Perak itu sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09 saat (s) (dalam saringan) di Cali, memadam rekod lama 10.18 s bekas jaguh pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di Ipoh itu, meraih keputusan 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).