Borussia Dortmund waspada muslihat JDT

Alexander Meyer -Foto: AFP
Alexander Meyer -Foto: AFP
A
A
A

BORUSSIA Dortmund menjangka perlawanan sukar apabila berdepan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dalam Jelajah Asia 2022 kelab gergasi Bundesliga Jerman itu pada 28 November ini.

Penjaga gol Borussia Dortmund, Alexander Meyer berkata,“Kami tahu Borussia Dortmund sebuah kelab besar yang mempunyai ramai para penyokong di Asia.

“Dengan itu, saya percaya mereka (JDT) tentunya mahu mengalahkan kami.

“Ia suatu perlawanan yang sukar dan kami perlu bermain dengan sepenuhnya menentang JDT," katanya pada sidang media secara maya pada Jumaat.

Juara liga Jerman lapan kali itu akan bertemu JDT pada perlawanan kedua Jelajah Asia 2022 selepas perlawanan pembukaan menentang Lion City Sailors di Stadium Jalan Besar pada 24 November

Borussia Dortmund yang juga dikenali Die Borussen pimpinan Edin Terzic akan mengakhiri jelajah menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh pada 30 November.

Pemain berusia 31 tahun itu sedar bahawa kuasa bola sepak Malaysia itu merupakan sebuah kelab yang hebat selepas memenangi banyak gelaran sejak 10 tahun lepas termasuk Piala Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) 2015 dengan mengalahkan kelab pilihan, Tajikistan, Istiklol, 1-0.

Untuk rekod, pada Julai 2015, JDT dibelasah 1-6 oleh Die Borussen pada jelajah pramusim di Stadium Larkin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Meyer berharap para pemain akan menggunakan siri jelajah ini untuk kembali cergas selepas menamatkan percutian musim sejuk dan meneruskan musim 2022/2023 pada 20 Januari tahun depan.

Selepas 15 perlawanan, Die Borussen menduduki tempat keenam Bundesliga dengan 25 mata - sembilan mata di belakang juara bertahan Bayern Munich.

Jelajah Die Borussen kali ini yang berlangsung pada ketika Piala Dunia Qatar 2022, akan disertai para pemain yang tinggal dari pasukan utama dan beberapa pemain daripada pasukan remajanya.