PRU15: Tiada kesesakan di terminal feri ke Langkawi

Operasi Terminal Feri Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi pada Khamis dan Jumaat berjalan lancar. - Foto Arkib, gambar kecil: Baharin
Operasi Terminal Feri Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi pada Khamis dan Jumaat berjalan lancar. - Foto Arkib, gambar kecil: Baharin
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada kesesakan berlaku di Terminal Feri Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi menjelang pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, jualan tiket dan suasana di ketiga-tiga terminal pada Khamis dan Jumaat juga teratur setakat ini.

Bagaimanapun, konsortium tersebut bersedia untuk membuka feri tambahan sekiranya pembelian tiket pada hujung minggu ini meningkat dengan mendadak melebihi 50 peratus.

"Buat masa ini hasil pemantauan didapati keadaan biasa dan tiada kesesakan berlaku di ketiga-tiga terminal feri cuma di bahagian operasi konsortium sudahpun membuat persediaan tempahan feri tambahan bagi saat-saat akhir untuk pengundi masuk ataupun keluar dari Langkawi.

"Setakat ini juga tidak berlaku pembelian tiket yang tinggi. Kami menasihatkan kepada penumpang ataupun pengundi dimohon membuat pembelian tiket dalam talian kerana telah dibuka untuk warga Langkawi dan juga orang luar," katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Perjalanan dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi ditambah kepada enam kali pada Jumaat berbanding empat atau lima kali pada hari biasa.

Baharin berkata, pengguna juga diminta agar merancang awal untuk menggunakan perkhidmatan feri bagi mengelakkan kesesakan di terminal feri.

"Pada hari Sabtu, pembelian tiket belum mencapai 50 peratus lagi namun kami sentiasa memantau dari semasa ke semasa jika terdapat permintaan mendadak.

Artikel Berkaitan:

"Bagi perjalanan feri pada Ahad pula kami menambah perjalanan enam kali dari Langkawi ke Kuala Kedah dan lima kali dari Langkawi ke Kuala Perlis," ujar beliau.

Tambahnya, feri terakhir pada Sabtu adalah pada jam 8 malam dari Kuala Perlis ke Langkawi.