[VIDEO] PRU15: Pengundian Parlimen Padang Serai ditangguh 7 Disember

Tan Sri Abdul Ghani Salleh
Tan Sri Abdul Ghani Salleh
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Proses pengundian Parlimen Padang Serai yang sepatutnya berjalan sekali dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Sabtu ditangguhkan susulan kematian salah seorang calon yang bertanding.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, mesyuarat khas menetapkan hari pengundian Parlimen itu pada 7 Disember.

"Tarikh penamaan calon bagi Parlimen Padang Serai adalah 24 November manakala undi awal pula 3 Disember," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, tempoh berkempen ditetapkan selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 24 November sehingga jam 11.59 malam, 6 Disember.

"Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara secara dalam talian dibuka daripada hari ini (Jumaat) dan ditutup pada 22 November," katanya.

Beliau berkata, Pegawai Daerah Kulim Datuk Abdul Bari Abdullah dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan dibantu oleh enam penolong pengurus.

"Bagi tujuan pemantauan aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR akan menubuhkan dua pasukan penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR)," katanya.

Abdul Ghani berkata, Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU).

Artikel Berkaitan:

"Calon-calon yang layak sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke (PPC) bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.

"Bakal calon baharu yang ingin bertanding hendaklah menyerahkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon," katanya.

Ujarnya, seramai 2,468 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya itu.

"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 47 buah dengan 232 tempat mengundi atau saluran," katanya.

Tambah Abdul Ghani, SPR akan menggunakan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemaskini sehingga 9 Oktober.

"Seramai 133,867 orang pemilih yang terdiri daripada 133,776 orang pengundi biasa, 76 polis dan 15 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara," katanya.

Menurut beliau, DPPR Padang Serai akan mula dijual pada 23 November.

"Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak," katanya.

Calon PH, M Karupaiya, 69, dilapor meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kulim, Kedah jam 2.27 petang Rabu.

Pada PRU14, Karupaiya yang juga bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpangkat Pegawai Waran 1 memperoleh 31,724 undi dan menewaskan calon daripada Pas dan BN dengan dengan majoriti 8,813 undi.

Parlimen Padang Serai menyaksikan persaingan enam penjuru dengan calon dari BN, Datuk Sivaraj Chandran, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Amanda AK dari Bebas dalam PRU15, Sabtu ini.