Rakyat Malaysia cukup umur wajib mengundi: Khutbah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Khutbah Jumaat di seluruh masjid di Selangor menetapkan beberapa nasihat syarak kepada pemilih yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Khutbah menerusi tajuk 'Kewajipan Mengundi Dalam Pilihan Raya' itu juga menyifatkan memilih pemimpin dalam pilihan raya merupakan satu kewajipan kepada setiap umat Islam di negara ini.

"Esok adalah hari mengundi. Beberapa nasihat syarak kepada para pemilih antaranya adalah setiap rakyat Malaysia cukup umur untuk mengundi wajib memainkan peranannya dengan keluar mengundi, kerana dewan Parlimen memiliki kuasa bagi menentukan kerangka, dasar dan hala tuju negara.

"Oleh itu pastikan wakil yang dipilih adalah calon yang bermanfaat bagi memelihara kesucian dan kedudukan agama Islam, hak umat Islam dan hak rakyat berbilang bangsa seluruhnya.

"Untuk itu umat Islam mesti mengangkat orang-orang yang berkelayakan, yang akan membuat ketetapan bagi kemaslahatan dan mengelakkan kerosakan, sebagaimana kaedah fiqh: 'Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan maslahah'," katanya.

Khutbah Jumaat itu juga meminta pengundi wajib memilih orang yang memiliki keimanan kepada ALLAH, berilmu, berakhlak dan beramal soleh.

"Apatah lagi pengundian merupakan persaksian yang akan dipertanggungjawabkan pada hari kiamat," katanya.

Menurut khutbah Jumaat itu, pemilih juga dinasihatkan agar tidak memilih calon yang mewakili Parlimen dari kalangan orang Islam yang memiliki sifat melakukan maksiat secara terang-terangan, memusuhi ALLAH, rasul dan orang beriman.

Artikel Berkaitan: