[VIDEO] PRU15: Pengundi baharu pilih calon bertanggungjawab

Gambar dari kiri: Muhammad Faliq Haziq, Muhammad Arif, Nur Sabrina, Wan Nur Ain Auni
Gambar dari kiri: Muhammad Faliq Haziq, Muhammad Arif, Nur Sabrina, Wan Nur Ain Auni
A
A
A

SHAH ALAM - Kebanyakan pengundi muda ditemui yang di daerah ini menyatakan hasrat untuk mempunyai wakil rakyat yang bertanggungjawab dan bersedia bekerja keras demi rakyat.

Pelajar institut pengajian tinggi awam, Muhammad Arif Nor Azhar, 21, berkata, dia akan meneliti karakter calon bertanding terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk memberi sokongan.

Menurutnya, semua gabungan parti politik bertanding mempunyai manifesto menarik tetapi persoalannya, mampukah mereka mengotakan janji kepada rakyat termasuk orang muda.

"Saya balik mengundi di Seremban, Negeri Sembilan, mengundi kali pertama ini agak gementar dan akan mengundi berdasarkan apa yang saya nampak iaitu (karakter) calon serta dari segi kredibilitinya.

"Cara berucap adakah dengan fakta atau sebaliknya dan juga sikapnya ketika berhadapan dengan ahli Parlimen lain ketika di dalam Dewan Rakyat," katanya ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Bagi seorang lagi pengundi muda, Muhammad Faliq Haziq Mohd Saipullizan, 21, yang pertama kali mengundi susulan pelaksanaan pendaftaran secara automatik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, ahli politik mempunyai rekod buruk perlu diketepikan kerana ia tidak memberi manfaat kepada negara.

"Saya juga tengok dari sudut parti atau calon mesra rakyat kerana senang untuk berurusan nanti dan yang mengutamakan agama," katanya yang pulang ke Melaka pada Jumaat untuk mengundi.

Turut berkongsi pendapat, pelajar institusi pengajian tinggi, Wan Nur Ain Auni Wan Ruzaki, 21, berkata, golongan muda kini terdedah kepada pelbagai maklumat namun ramai yang melihat kepada manifesto parti bertanding.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan mengundi berdasarkan manifesto yang telah dijanjikan, yang mana memberikan kesan terbaik kepada negara, saya akan (memberikan) undi," katanya yang akan mengundi di Pekan, Pahang.

Sementara itu, rakannya, Nur Sabrina Riduan, 21, berkata, dia juga akan memilih parti mana yang akan mentadbir negara dengan melihat kepada manifesto dan cara calon berinteraksi dengan rakyat.

"Janji perlu ditepati dan selain itu kita juga akan tengok juga track rekod calon yang bertanding sebelum ini," kata anak kelahiran Kuantan yang akan mengundi buat kali pertama pada PRU15 esok.

Menurut statistik dikeluarkan SPR, sebanyak 10.6 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun di seluruh negara akan mengundi pada PRU15 ini.

Sejumlah 1,393,549 juta pengundi berusia antara 18-20 tahun manakala 4,614,429 pengundi berusia antara 21-29 tahun.