MH17: Malaysia puas hati keputusan mahkamah Belanda

Mahkamah The Hague di Belanda pada Khamis memutuskan tiga individu bersalah menembak jatuh pesawat MH17 pada 17 Julai 2014.
Mahkamah The Hague di Belanda pada Khamis memutuskan tiga individu bersalah menembak jatuh pesawat MH17 pada 17 Julai 2014.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menyokong penuh dan berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Daerah The Hague yang mensabitkan kesalahan terhadap tiga individu atas dakwaan menembak jatuh pesawat MH17.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kes jenayah itu menjadi satu tanda aras yang penting dalam usaha mencari kebenaran.

Menurutnya, ia juga menegakkan keadilan kepada kesemua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi penerbangan tersebut serta semua waris mangsa.

"Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan kepada kebenaran, keadilan serta penuh tanggungjawab.

"Dalam hubungan ini, Malaysia menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah The Hague.

"Malaysia juga berpuas hati terhadap proses penghakiman yang boleh dipercayai dan telus yang dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda, berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang telah lama dinanti-nantikan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mahkamah Daerah The Hague pada Khamis mensabitkan kesalahan terhadap tiga tertuduh dan menggugurkan tuduhan ke atas seorang lagi yang didakwa menembak jatuh pesawat MH17 di ruang udara Ukraine, ketika ia dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.

Ketua panel hakim, Hendrik Steenhuis mensabit salah terhadap tiga tertuduh iaitu dua rakyat Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko atas dakwaan membunuh dan sengaja menyebabkan nahas pesawat tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ismail Sabri, Malaysia mewakili semua pihak yang terkesan akibat peristiwa yang amat meruntun hati itu, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli Pasukan Penyiasat Bersama (Joint Investigation Team – JIT).

Menurutnya, pasukan tersebut terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang telah bertungkus-lumus bersama-sama menjalankan siasatan jenayah antarabangsa terhadap tragedi MH17.

"Malaysia sekali lagi ingin menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat MH17. Walaupun tiada apa yang dapat mengembalikan nyawa mereka mahupun mengurangkan kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh keluarga dan orang tersayang.

"Keputusan mahkamah ini diharap sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga dan waris kepada mangsa yang terbunuh dalam tragedi ini," ujar beliau.