Penoreh rayu kerajaan naikkan harga lantai getah

Gambar kecil: Johman (kiri), Siska dan Nerin
Gambar kecil: Johman (kiri), Siska dan Nerin
A
A
A

KOTA MARUDU - Golongan penoreh getah di Sabah merayu supaya harga lantai getah dinaikkan bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka yang hanya bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan bahan komoditi itu.

Rata-rata penoreh getah di Kota Marudu dan Kota Belud mendakwa harga bagi satu kilogram getah sekerap ketika ini hanya antara RM2.30 hingga RM2.50 dan pendapatan yang diterima secara puratanya hanya RM500 untuk sebulan.

Menurut penduduk Kampung Tangkol, Siska Peter, 25, hasil getah merupakan sumber pendapatan utama bagi penduduk di Mukim Marak Parak, di mana rata-rata mereka adalah penoreh ataupun petani.

"Kalau hujan memang tiada pendapatan. Tapi kalau menoreh pun harganya rendah dan dalam sebulan boleh dapat hasil kira-kira RM500 saja.

"Sekarang harganya tidak sampai RM2.50, dulu kami dijanjikan harganya RM3 jadi diharap akan ditunaikan sehingga RM3 ke RM3.50," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Melangkap, di sini, pada Khamis.

Siska berkata, disebabkan keadaan pendapatan yang sedikit dia terpaksa melakukan pekerjaan lain termasuk menjual kuih muih di kampung.

"Saya ada juga menjual kuih muih untuk menampung kehidupan memandangkan saya tinggal bersama ahli keluarga yang lain," katanya.

Seorang lagi penoreh getah, Johman Seleh, 27, turut meluahkan perkara sama mahu supaya sesiapa pun yang akan memerintah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini dapat melihat nasib golongan penoreh getah.

Artikel Berkaitan:

"Kami mahu siapapun yang memerintah atau menjadi pemimpin di kawasan kami, harapan kami adalah harga getah dinaikkan sedikit.

"Sekarang pendapatan dalam tempoh dua minggu sekerap yang dijual purata hanya RM200. Jadi kalau dinaikkan sehingga RM3.50 pun bolehlah menampung perbelanjaan harian," katanya.

Sementara itu, Nerin Dulah, 63, dari Kampung Pinasang Tamu Darat, Kota Belud, berkata, hanya ketika kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi penoreh dapat menikmati harga komoditi getah yang tinggi.

"Saya minta kerajaan naikkan sedikit harga lantai getah sebab kami ini kalau bukan musim padi, kami akan menoreh getah. Jadi kalau harganya rendah, apa yang kami dapat.

"Kalau macam tahun 2009 hingga 2013 dulu, barulah penoreh getah ini dapat bernafas sedikit kerana harga getah ketika itu naik melambung di mana harga getah kentalan boleh mencecah sehingga RM4 satu kilogram.

"Jadi kami ini sebagai petani dan penoreh getah kalau tinggi sedikit harga getah dan naikkan sedikit harga padi dalam satu kilogram senang sikit kami sekolahkan anak-anak," katanya.