Isu integriti memang jadi perhatian rakyat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Isu pemerkasaan integriti tadbir urus kerajaan sememangnya menjadi isu utama yang menjadi perhatian rakyat Malaysia ketika ini.

Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, rakyat Malaysia kini mula sedar bahawa isu tersebut memberi kesan terhadap kualiti hidup mereka.

“Itu penting kerana dalam kajian saya pun ia memang isu utama. Bila kita tanya pada rakyat Malaysia mengenai isu kenaikan harga barang, ramai menyatakan bahawa puncanya adalah salah tadbir urus.

“Maksudnya, ia memang perlu ditangani oleh kerajaan memerintah untuk memastikan kehidupan rakyat Malaysia menjadi semakin bertambah baik pada masa akan datang,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Azizuddin berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini sudah melaksanakan beberapa langkah positif ke arah meningkatkan integriti tadbir urus, antaranya melalui pengenalan Akta Anti Lompat Parti.

Ujarnya, usaha memperkenalkan beberapa perundangan baharu yang mampu membendung rasuah dan salah laku urus tadbir, antaranya Akta Pendanaan Politik dan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri juga sudah dimulakan.

“Maksudnya, ada inisiatif yang beliau sudah bawakan. Contohnya, melalui Perjanjian persefahaman (MoU) bersama Pakatan Harapan (PH) untuk tambah baik tadbir urus.

“Memang perancangan itu ada tapi sebab pengenalan undang-undang ini memakan masa dan tidak sempat untuk dilaksanakan dalam tempoh setahun. Dapat melaksanakan satu (Akta Anti Lompat Parti) pun sudah dikira okey,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan: