PRU15: JRTB mula jadi tumpuan pengundi ke Kelantan

Keadaan di kawasan rehat Batu 2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) yang dipenuhi kenderaan perantau.
Keadaan di kawasan rehat Batu 2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) yang dipenuhi kenderaan perantau.
A
A
A

GERIK - Jalan Raya Timur Rarat (JRTB) di sini pada Khamis menjadi tumpuan dengan kenderaan pengguna dari luar daerah mula pulang ke Kelantan untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan pengguna mula memberhentikan kenderaan mereka di kawasan rehat Batu 2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat sini.

Mereka berhenti untuk menikmati makanan dan juga berehat setelah menempuh perjalanan jauh.

Seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Nurul Hanis Anis, 23, berkata, dia pulang dari Pulau Pinang untuk mengundi di Kota Bharu.

"Saya mahu memilih calon yang akan memastikan negara terus stabil dalam ekonomi dan politik," katanya ketika ditemui dI kawasan Rehat Batu 2 JRTB dekat sini pada Khamis.

Seorang lagi rakannya, Mohd Hafizi Mohd Hanafi, 23, berkata, dia berharap PRU15 ini akan menjadikan ekonomi negara bertambah baik.

"Sebagai anak muda saya mahu pemerkasaan sosial diberikan perhatian sewajarnya," katanya yang balik mengundi di Machang.

Seorang suri rumah, Norhayati Salleh, 38, dari Sungai Petani berkata, dia mahu pulang mengundi di Jeli.

Artikel Berkaitan:

"Saya mahu memilih pemimpin yang boleh membawa kemajuan negara dalam ekonomi.

"Ekonomi kita sekarang tidak stabil dan negara perlu pemimpin yang berwawasan tinggi demi negara," katanya.

Seorang kerani swasta, Muhamad Nazri Hamid, 40, dari Kedah berkata, dia mahu menunaikan tanggungjawab untuk pulang mengundi di kampungnya di Kota Bharu.

"Saya sebagai seorang rakyat negara ini mahu mengundi calon yang boleh berkhidmat kepada rakyat apabila rakyat susah," katanya.