Jinping marah Trudeau?

Klip berdurasi 60 saat itu memaparkan adegan Jinping (kanan) 'memarahi' Trudeau. - Foto: Agensi
Klip berdurasi 60 saat itu memaparkan adegan Jinping (kanan) 'memarahi' Trudeau. - Foto: Agensi
A
A
A

NUSA DUA - Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) digemparkan dengan insiden Presiden China, Xi Jinping ‘memarahi’ Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau yang dilihat sebagai pertelingkahan awam luar biasa berisiko mengeruhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

Kejadian tersebut berjaya dirakamkan wartawan di luar acara itu yang berlangsung di Bali, Indonesia pada Rabu.

Ia jelas memaparkan Jinping tidak berpuas hati kerana mendakwa Trudeau mendedahkan butiran perbincangan secara tertutup mereka kepada media.

Ia dipercayai ada kaitan dengan isu yang dibangkitkan Trudeau berhubung ‘campur tangan’ China terhadap rakyat Kanada setelah Ottawa menuduh Beijing masuk campur dalam sistem kehakiman dan demokrasi negara itu.

Menerusi klip berdurasi 60 saat itu, Jinping menerusi penterjemah beliau menyatakan ‘segala yang kita bincangkan telah didedahkan kepada akhbar. Ia adalah tindakan yang tidak wajar’.

“Jika ada sifat kejujuran, kita boleh berdialog berlandaskan rasa hormat-menghormati. Jika tidak, hasilnya sukar diramalkan,” katanya.

Trudeau membalas dengan berkata, Kanada lebih percaya kepada dialog secara bebas dan terbuka.

Respons pemimpin itu bagaimanapun tidak disenangi Jinping yang kemudiannya meninggalkan Trudeau setelah bersalaman dengannya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning menafikan ‘adegan marah’ tersebut dan menjelaskan kedua-dua pemimpin itu hanya menyatakan pendirian masing-masing.

“Ia perbualan biasa dan tidak wajar ditafsirkan sebagai kritikan atau mahu menyalahkan sesiapa,” katanya. - AFP