PRU15 medan terbaik pulihkan negara: Anwar

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan medan terbaik untuk lakukan perubahan menyeluruh bagi memulihkan negara.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, selain untuk menyelamatkan negara, pilihan raya umum juga bukan semata-mata mengenai tukar Perdana Menteri.

“Setiap lima tahun sekali, saudara punyai kuasa untuk menentukan ke mana hala tuju negara, menentukan kerajaan bagaimana yang diimpikan.

“Manfaatkanlah kuasa demokrasi di tangan saudara dengan sebaik mungkin dan yakinlah bahawa kita masih punyai harapan,” katanya dalam perutusan khas Pengerusi PH yang disiarkan secara langsung di Facebook pada Khamis.

Dalam pada itu Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga memberi jaminan bahawa beliau tidak akan mengizinkan sikap permusuhan dan kebencian sesama kaum berlaku di negara ini sekiranya PH mendapat mandat rakyat membentuk kerajaan selepas PRU15.

Jelasnya, kerjasama antara semua kaum akan dilaksanakan sebagai usaha mencorak masa depan negara yang lebih sejahtera.

“Inilah caranya untuk menjamin kebajikan setiap rakyat Malaysia dan menzahirkan sikap ihsan, terutama buat mereka yang sedang menghadapi berbagai ujian dan cabaran.

“Pemimpin kita (PH) telah membuktikan kejujuran dan integriti. Menerusi khidmat mereka kepada rakyat, kita akan memulihkan keyakinan antara rakyat dengan kerajaan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau yang juga calon PH bagi Parlimen Tambun turut menegaskan, sebuah kerajaan akan stabil sekiranya pemimpin berkhidmat demi rakyat dan bukan untuk kepentingan sendiri.

Selain itu katanya, pemimpin juga perlu mempunyai akhlak baik, menolak rasuah dan menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Ini termasuk memelihara agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, penetapan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Sementara itu, hak setiap rakyat berbilang kaum akan terus dipelihara dan maruah mereka dihormati laksana sebuah keluarga,” katanya.