Menang PRU15, Anwar janji guna pengaruh pulih ekonomi

Anwar pada jamuan rakyat di Desa Pandan, di sini pada Khamis.
Anwar pada jamuan rakyat di Desa Pandan, di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menggunakan hubungan baiknya dengan negara luar untuk meningkatkan ekonomi Malaysia jika dipilih mentadbir kerajaan.

Anwar berkata, melalui langkah itu, menjadi kelebihan buat Malaysia menarik lebih banyak pelabur asing.

"Jarang dalam sejarah, kita dapat sambutan dan keyakinan menang untuk tubuh kerajaan, kemudian fokus kepada ekonomi.

"(Keadaan kini) ringgit jatuh, harga barang naik, kerja tak ada, gaji tak naik maka fokus menjadi pemimpin perlu ada rencana ekonomi, (iaitu) hubungan antarabangsa yang baik, boleh bercakap dengan Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah, Turkiye, India dan China.

"(PH) ambil alih kuasa, minta tolong pembesar-pembesar (negara berkenaan) bawa pelabur datang, angkat kembali ekonomi Malaysia," katanya pada jamuan rakyat di Desa Pandan, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Calon PH di Parlimen Tambun itu menyindir sesetengah pemimpin parti politik menggunakan sentimen perkauman untuk meraih perhatian pengundi.

"Anwar (jadi) Perdana Menteri, dia akan dikawal oleh DAP Cina komunis ini, kome (semua) ingat teman (bodoh), mana akhlak Islam yang membolehkan kita memfitnah dan menghukum orang yang kita tak suka.

"Orang Cina, India sokong tapi ingat saya boleh menang di Port Dickson kalau orang Melayu tak sokong. Jadi, isunya orang Melayu kena fikir soal negara kita. Jangan la anggap saya bodoh, kemaruk nak jadi Perdana Menteri," ujarnya.

Artikel Berkaitan: