PRU15: Saya dalam proses akhir pengajian PhD - Calon PH

Jamaluddin bersama surat tawaran pengajian PhD di UKM.
Jamaluddin bersama surat tawaran pengajian PhD di UKM.
A
A
A

JENGKA - "Saya adalah siswazah Doktor Falsafah (PhD) Peradaban Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dalam proses akhir pengajian," kata calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Jamaluddin Abd Rahim, 56, menjawab isu penggunaan gelaran Dr.

Menurutnya, buat masa ini beliau dalam proses mengemukakan rayuan semakan akhir tesis PhD, namun kerana kesibukan masa ia tertangguh selain terikat dengan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya pernah ditanya belajar sampai peringkat mana, saya jawab sehingga PhD dan dalam proses akhir pengajian.

"Saya dalam proses mendapatkan PhD di penghujung pengajian, mungkin dalam tempoh tiga empat bulan lagi, Viva la. Sepatutnya kalau bukan PRU, saya sudah hantar tesis," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambah pemegang Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) (Muamalah) itu lagi, beliau juga tidak menggunakan gelaran Dr dalam semua bahan kempennya.

Sementara itu, anak jati Jengka itu berhasrat untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai hab pendidikan antara fokus utamanya jika memenangi kerusi di DUN terbabit.

Ahli perniagaan itu juga ingin membantu meningkatkan ekonomi di kawasan tersebut dengan mewujudkan peluang pekerjaan, perniagaan kepada golongan muda dan pencari pekerjaan dengan membawa masuk pelabur industri kecil, sederhana dan skala besar di Jengka.

"Selain itu, saya lihat isu bekalan air yang dihadapi penduduk di sini juga antara masalah utama yang perlu diatasi demi kemudahan pengguna," jelas Jamaluddin yang juga bekas guru dan pensyarah.