Pengusaha PMKS sambut baik cadangan MPN lanjutkan moratorium

Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri mengambil berat masalah golongan PMKS untuk meneruskan perniagaan.
Muhyiddin ketika menjadi perdana menteri mengambil berat masalah golongan PMKS untuk meneruskan perniagaan.
A
A
A

SHAH ALAM – Selepas berdepan pelbagai masalah dan kerugian akibat pandemik Covid-19, golongan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kini terpaksa berdepan pula kenaikan harga barangan asas di pasaran.

PMKS turut terkena tempias berikutan kejatuhan nilai ringgit dan kos pembiayaan bank melalui kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak empat kali bagi tahun 2022 yang boleh merencatkan pemulihan ekonomi negara.

Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengesyorkan cadangan berkaitan masalah aliran tunai, memudahkan pinjaman dan pemberian moratorium khas kepada PMKS.

Golongan PMKS yang ditemui rata-rata mengakui bantuan yang disalurkan oleh kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin ketika itu sebanyak RM6.08 bilion melalui skim Geran Khas Prihatin (GKP) kepada lebih 1 juta pengusaha PMKS, membantu meringankan beban mereka.

UMMU SYAFRAWA
UMMU SYAFRAWA

Pengusaha kedai produk kecantikan dan makanan, Ummu Syafrawa Hasnan berkata, pandemik memberi kesan kepada perniagaannya kerana ketika itu aktiviti jual beli secara fizikal seperti ‘cash on delivery’ (COD) tidak dapat dilakukan.

“Namun saya bersyukur kerana dapat bantuan Geran Khas Prihatin sebanyak RM3,000.

Artikel Berkaitan:

“Ia membantu kelancaran bisnes saya sewaktu pandemik. Malah saya boleh menambah modal pusingan,” katanya.

Namun, dengan situasi kenaikan harga barang dan inflasi ketika ini dan berterusan tahun hadapan, beliau tidak menolak perniagaannya agak terkesan.

“memang sukar nak dapatkan untung bersih yang tinggi sebab harga barang naik. Saya juga hadapi masalah aliran tunai jika OPR naik lagi,” jelasnya.

Beliau menyahut cadangan MPN supaya moratorium khas diberikan kepada pengusaha PMKS sepertinya terutama jika berlaku masalah kegawatan ekonomi.

MOHD ROSLI
MOHD ROSLI

Sokongan sama turut disuarakan pemilik kedai bakeri Homebaker@)Clover, Mohd Rosli Abdul Manaf.

Katanya, golongan usahawan wajar diberikan moratorium khas untuk melancarkan aliran tunai perniagaan.

“Saya ada buat pinjaman untuk beli dua buah lori baharu. Kalau ada moratorium, ia sangat-sangat membantu.

“Walaupun semasa pandemik bisnes saya tak terjejas sebab pemasaran dibuat secara ‘online’ tetapi selepas Aidilfitri lalu, bisnes saya terkesan.

“Peningkatan inflasi dan harga barang yang naik sekitar 25 hingga 30 peratus juga menyebabkan kos modal bertambah. Saya tak naikkan harga roti, kek dan produk sebab saya tak mahu menyumbang kepada kenaikan inflasi yang lebih tinggi,” katanya.

QAIRY
QAIRY

Sementara itu, Pengasas Empayar AilyQairy Sdn Bhd, Qairy Maheran berkata, ketika pandemik beliau memanfaatkan sepenuhnya platform dalam talian.

Penerima bantuan GKP ini turut berharap pemberian diteruskan kerana kos pemasaran pengusaha terus meningkat, ditambah pula dengan kenaikan harga barang dan inflasi.

“Dengan keadaan sekarang, kami takut nak laburkan duit untuk pengeluaran tetapi saya akan terus kekalkan bisnes. Ini umpama kami berlumba di litar Formula1. Biar corot janji tak terkeluar dari litar,” katanya.

Justeru, beliau turut melihat kewajaran golongan PMKS diberikan moratorium pinjaman perniagaan yang lebih panjang dan nilai kadar faedah diturunkan.

AMIRUL ZAHIR
AMIRUL ZAHIR

Pemilik gerai buah, Amirul Zahir Azizan turut menyifatkan pemberian moratorium khas kepada PMKS wajar dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu kini.

“Saya sendiri ada membuat dua pinjaman bank dan hanya mampu bertahan untuk bayar gaji tujuh pekerja di tujuh gerai tanpa dapat untung yang boleh disimpan.

“Semasa pandemik, bisnes saya tak terjejas tapi lepas pandemik, saya terkesan sebab ramai orang yang hilang kerja mula berniaga sendiri. Jadi saingan itu bertambah,” katanya yang menerima GKP sebanyak RM3,000.

Aliran tunai perniagaannya turut terkesan lebih-lebih apabila berlaku kenaikan OPR empat kali tahun ini.

Cabaran besar

FARISYA NABILA
FARISYA NABILA

Usahawan produk kecantikan, Farishya Nabila Mohd Zahari akui cabaran yang terpaksa dilalui akibat jualan merosot ketika pandemik dan menggunakan bantuan GKP sebagai modal pusingan.

“Keadaan sekarang membuatkan saya lebih berhati-hati. Situasi lebih teruk apabila OPR naik berterusan yang memberi kesan pada aliran tunai.

“Saya sangat bersetuju sekiranya moratorium khas diberikan kepada usahawan PMKS untuk lancarkan aliran tunai pengusaha yang terjejas," katanya.

MUHAMMAD ZUKHAIRI
MUHAMMAD ZUKHAIRI

Pembekal snek rumpai laut, Muhammad Zulkhairi Zulkefli akui wang GKP membantu perniagaannya terus bertahan.

Menurutnya, wang itu digunakan untuk menampung kos bahan mentah dan kos penghantaran. Namun, akibat tiada aliran tunai syarikat terjejas sejak pertengahan tahun ini.

“Dalam tempoh dua tahun ini, lapan kali harga rumpai laut segar naik harga. Tahun lepas saya buka bengkel pemprosesan produk rumpai laut dan masa itu harga bahan binaan juga sedang naik.

“Walaupun saya tak terkesan kenaikan OPR sebab membuat pinjaman dengan Tekun dan Mara, tetapi saya sokong cadangan moratorium untuk usahawan PMKS,” ujarnya.

Berbeza dengan pemilik Wahyuni Beauty & Spa Perlis, Azrina Ibrahim yang berdepan kesan teruk ketika pandemik kerana spa tidak boleh beroperasi.

Apabila industri dibenarkan semula operasi, bantuan subsidi upah untuk pekerja yang diterima meringankan bebannya.

“Syukur sebab Mara beri potongan sewa 30 peratus ketika itu. Tetapi sekarang orang ramai akan berhati-hati berbelanja kerana faktor ekonomi. Pelanggan tetap pun semakin berkurang.

“Saya cuba bertahan dengan mengawal aliran tunai perniagaan. Kalau kerajaan beri moratorium khas saya sangat bersetuju. Pada masa sama janganlah dikenakan kadar faedah pinjaman sewaktu tempoh moratorium,” katanya.