PRU15: Zainol Fadzi mahu selesaikan isu projek terbengkalai

Zainol Fadzi ketika ditemui pada program ramah mesra bersama penduduk di Taman Desa Ramah, Selabak, Teluk Intan.
Zainol Fadzi ketika ditemui pada program ramah mesra bersama penduduk di Taman Desa Ramah, Selabak, Teluk Intan.
A
A
A

TELUK INTAN - Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Teluk Intan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mahu menyelesaikan isu projek terbengkalai di daerah Hilir Perak itu jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Beliau berkata, projek pembinaan cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Teluk Intan, balai bomba baharu dan kemudahan parkir hospital yang memberi manfaat kepada rakyat itu perlu tindakan segera.

"Lawatan ke projek ini dapat melihat keadaan yang menyedihkan dan saya kesal apabila tiada usaha yang dibangunkan oleh kepimpinan sebelum ini.

"Projek-projek ini memberi manfaat kepada rakyat. Sekiranya dipilih, saya akan perjuangkan supaya projek-projek ini tidak berlaku isu terbengkalai lagi.

"Begitu juga parkir bertingkat di Hospital Teluk Intan yang pernah diuar-uarkan sebelum ini. Hospital tidak mempunyai isu tanah kerana mempunyai kawasan yang luas," katanya ketika ditemui pada program ramah mesra bersama penduduk di Taman Desa Ramah, Selabak pada Rabu.

Menurut Zainol Fadzi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak perlu memikirkan jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi banjir yang kerap berlaku di daerah itu sejak tiga dekad lalu.

"Saya difahamkan ada lima hingga enam kampung terjejas banjir hingga terpaksa berpindah (pusat pemindahan sementara) setiap tahun.

"Rakyat sudah bosan dengan keadaan ini, jadi dengan teknologi terkini serta ramai pakar yang ada khususnya JPS perlu memikirkan kaedah penyelesaian jangka panjang," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Ditanya peluang bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan (PH) itu, Zainol Fadzi yang juga Setiausaha PN Perak berkata, beliau akan menggunakan peluang sebaiknya tempoh berkempen untuk meraih pengundi di Teluk Intan.

"Ramai yang kata peluang saya di sini agak tipis kerana berhadapan dengan penyandang kerusi. Kita masih ada masa dan saya cuba sebaiknya.

"Saya mempunyai rekod selama tiga penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik yang akan digunakan untuk bantu dan menaikkan kampung halaman saya ini," katanya.

Pada PRU15, Zainol Fadzi akan berhadapan dengan calon dan penyandang daripada PH, Nga Kor Ming; Datuk T Murugiah (BN) dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi (Pejuang).