PRU15: TNB gesa elak kerja korek tanah pada 19 November

Gambar kecil: Wan Nazmy
Gambar kecil: Wan Nazmy
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meminta kerjasama semua pihak supaya mengelak daripada melakukan kerja pengorekan tanah pada hari mengundi Sabtu ini bagi menghindari berlaku gangguan bekalan elektrik.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, usaha itu bagi mengurangkan risiko menyentuh kabel elektrik dan kerosakan kabel.

"TNB sendiri menangguhkan kerja-kerja sedemikian mulai 16 November di samping memberi tumpuan kepada memastikan kestabilan bekalan sepanjang PRU15, khususnya pada malam keputusan pilihan raya.

“Nasihat kami, agar kerja-kerja pengorekan ini ditangguhkan dulu dan jika tidak dapat dielakkan, patuhilah semua prosedur dan tatacara yang ditetapkan agar kita sama-sama dapat mengurangkan risiko gangguan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Wan Nazmy turut memaklumkan pihaknya telah membuat persiapan bagi memastikan bekalan elektrik di 6623 Pusat Mengundi dan 165 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di seluruh Semenanjung berada dalam keadaan baik pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“TNB telah pun melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu-sedia bekalan elektrik ke lokasi-lokasi tersebut sentiasa terjamin.

"Kami juga telah menempatkan pasukan-pasukan petugas bagi memantau dan menunggu sedia untuk lokasi penting ini,” ujarnya.

Tambahnya, TNB telah mendapatkan kerjasama pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri bagi mendapatkan maklum balas perincian keperluan elektrik di kesemua pusat mengundi dan penjumlahan undi.

Artikel Berkaitan:

“Daripada situ, kami telah pun mengambil langkah-langkah yang diperlukan. Insya-Allah semuanya akan berada dalam keadaan terkawal,” jelasnya.