PRU15: Pengundi tidak tahu nak undi siapa

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Belum ada mana-mana parti yang mampu menambat hati pengundi berbaki dua hari lagi sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini.

Walaupun ada parti yang melaungkan keyakinan mampu menang dalam PRU15 ini, namun hakikatnya pengundi masih lagi dalam proses menilai parti mana yang layak untuk dipangkah.

Malah, manifesto yang telah diumumkan oleh semua parti dilihat tidak mampu memberikan keyakinan kepada pengundi terutama dalam isu membabitkan kos sara hidup rakyat.

Pengundi juga sudah muak dengan corak pendekatan parti yang sering memainkan isu dan fitnah memfitnah tanpa menyasarkan kepada misi lebih besar iaitu kepada kebajikan rakyat.

Suasana kempen juga dilihat hambar memasuki hari-hari terakhir menunjukkan bahawa rakyat seolah-olah bakal menolak PRU15 kali ini.

Sebelum ini juga, Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim menyifatkan bilangan kecil Dewan Undangan Negeri yang dibubarkan dan jangkaan kadar keluar mengundi yang rendah bakal menjadikan PRU15 lebih hambar berbanding PRU14.

Pelaksanaan Undi 18 dan penglibatan ramai pengundi baharu juga dijangka tidak membantu kerana mereka dijangka kurang ghairah dan kesediaan untuk keluar mengundi.

Justeru, menarik untuk menyaksikan bagaimana parti menarik pengundi dalam baki dua hari terakhir ini sekali gus mengelakkan PRU15 kali ini menjadi satu lagi PRU penolakan oleh rakyat.

Artikel Berkaitan: