Giliran siapa julang Piala Dunia?

Piala Dunia bakal membuka tirainya secara rasmi pada 20 November ini. -Foto 123rf
Piala Dunia bakal membuka tirainya secara rasmi pada 20 November ini. -Foto 123rf
A
A
A

KEJOHANAN bola sepak terulung di muka bumi ini - Piala Dunia bakal membuka tirainya secara rasmi pada 20 November ini. Memasuki edisi ke-22, Qatar diberi kepercayaan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Sebanyak 32 pasukan dari lima benua bakal bersaing memburu status 'sang juara' di bumi Doha. Mengikut pecahan, Eropah muncul benua yang menampilkan pasukan paling banyak bertanding dengan diketuai Belgium yang menghuni ranking kedua dunia.

Selain Belgium, Eropah turut menampilkan 12 lagi pasukan termasuk beberapa calon juara. Antaranya penyandang juara, Perancis, England, Sepanyol, Jerman, Belanda, Portugal, Croatia selain Denmark, Poland, Serbia, Switzerland dan Wales.

Selain beberapa wakil Eropah, dua gergasi Amerika Selatan - Brazil dan Argentina turut disebut-sebut sebagai calon juara Piala Dunia kali ini. Sebaliknya, Uruguay dan Ecuador dianggap pelengkap kuota dari benua Amerika Selatan.

Untuk rekod, hanya wakil dari kedua-dua zon itu - Eropah dan Amerika Selatan yang pernah bergelar juara dunia. Brazil nyata terlalu unggul apabila telah menyambar gelaran juara Piala Dunia sebanyak lima kali (edisi (1958, 1962, 1970, 1994, 2002).

Jerman termasuk ketika dikenali dengan nama Jerman Barat tidak kurang hebatnya apabila mendakap Piala Dunia sebanyak empat kali (1954, 1974, 1990, 2014) - berkongsi rekod yang sama dengan Itali (1934, 1938, 1982, 2006).

Bagaimanapun, Itali yang merangkul kejuaraan Euro 2020 pada tahun lalu sekali lagi terpaksa menerima keperitan apabila gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 - mengulangi skrip sama pada edisi 2018 di Rusia.

Dua wakil Amerika Selatan - Uruguay dan Argentina serta Perancis pula masing-masing muncul juara Piala Dunia sebanyak dua kali. Uruguay menoktahkan kejayaan pada edisi 1930 dan 1950; Argentina (1978 dan 1986), manakala Perancis (1998 dan 2008).

Artikel Berkaitan:

Kini tumpuan seluruh peminat bola sepak di seluruh dunia terarah kepada kemampuan pasukan dari benua Afrika, Amerika Utara, Tengah dan Caribbean serta Asia.

Mampukah mereka terutama wakil Asia - Jepun, Korea Selatan, Iran, Arab Saudi, Australia mahupun Qatar mengakhiri 'tradisi kejuaraan' jagoan Eropah atau Amerika Selatan di pentas Piala Dunia ?