Api menjulang, gegaran kuat jejas rumah penduduk

Siew Seng menunjukkan pintu kediamannya di Taman Rengit Jaya yang pecah akibat letupan dan kebakaran di tapak projek Rapid Pengerang.
Siew Seng menunjukkan pintu kediamannya di Taman Rengit Jaya yang pecah akibat letupan dan kebakaran di tapak projek Rapid Pengerang.
A
A
A

KOTA TINGGI - Penduduk di Taman Rengit Jaya menyaksikan sendiri api menjulang di udara selepas merasai gegaran susulan letupan dan kebakaran di tapak projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Pengerang, pagi tadi.

Taman berkenaan merupakan antara penempatan berhampiran dengan lokasi kejadian selain Kampung Lepau dan Kampung Sungai Kapal.

Penduduk, Ko Siew Seng, 43 berkata, kejadian itu merupakan kali pertama dialaminya sejak lapan tahun menetap di taman itu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi di mana ketika itu dia dan keluarga dikejutkan dengan bunyi letupan kuat disusuli dengan gegaran.

"Masa tu letupan bunyi sangat kuat. Pada awalnya saya ingat letupan dari kuari berhampiran. Namun sebaik sahaja keluar rumah ramai penduduk sudah berkumpul.

"Kami dapat saksikan asap, api menjulang dari kawasan kebakaran kerana perumahan ini terletak berhampiran dengan Rapid," katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Katanya, gegaran itu menyebabkan pintu kaca di ruang tamu pecah, selain pintu bilik mandi mengalami keretakan dan dianggarkan kerugian terpaksa ditanggung kira-kira RM10,000.

Tambahnya, ekoran itu dia telah membuat laporan di Balai Polis Pengerang manakala pihak bomba juga telah hadir melakukan pemeriksaan di rumahnya.

Artikel Berkaitan:

"Kami trauma dengan apa yang berlaku. Selain kediaman saya, kebanyakan rumah penduduk di sini alami kerosakan melibatkan siling," katanya lagi.